Angiografi hijau indocyanine berbanding penilaian klinikal dalam mencegah komplikasi pasca pembedahan rekonstruktif payudara selepas mastektomi

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada penggunaan teknik pengimejan baru, yang dipanggil indocyanine green angiografi (ICGA), semasa pembedahan rekonstruktif payudara dapat mengurangkan nekrosis (kematian sel) pada kulit payudara dan komplikasi lain seperti jangkitan, berikutan pembedahan rekonstruktif payudara selepas mastektomi.

Kami memasukkan wanita yang telah menjalani mastektomi dengan kulit (iaitu, di mana seluruh payudara termasuk puting dikeluarkan, menyelamatkan hanya kulit payudara) untuk barah payudara atau wanita yang berisiko tinggi menghidap barah payudara (kerana kesalahan gen). Kami mengumpulkan dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk memberikan ulasan yang akan memberitahu para doktor dan pesakit mengenai penggunaan ICGA dalam pembedahan rekonstruktif payudara.

Mesej-mesej utama
Penggunaan ICGA semasa pembedahan rekonstruktif payudara dilihat dapat mengurangkan peluang pembedahan semula jika dibandingkan dengan penilaian klinikal sahaja. Kami tidak pasti mengenai kesan ICGA dalam mengurangkan kemungkinan nekrosis kulit payudara dan komplikasi pasca operasi lain apabila dibandingkan dengan penilaian klinikal sahaja. Kualiti kajian yang digunakan untuk ulasan ini sangat rendah, yang bermaksud bahawa kami tidak yakin dengan hasilnya. Kami memerlukan kajian berkualiti tinggi yang telah merawakkan wanita ke kumpulan penilaian ICGA atau penilaian klinikal sahaja untuk mendapatkan jawapan yang lebih pasti.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kira-kira 40% wanita dengan barah payudara perlu menjalani mastektomi (pembuangan keseluruhan payudara). Mastektomi yang menyelamatkan kulit adalah pembedahan yang biasa di mana kulit payudara yang berada di atasnya dipelihara. Selepas mastektomi yang menyelamatkan kulit, wanita mempunyai pilihan untuk menjalani pembedahan rekonstruktif payudara. Pembedahan ini membawa beberapa risiko dan komplikasi, termasuk pembedahan untuk memperbaiki komplikasi (pembedahan semula), pembukaan semula luka pembedahan secara spontan (dehiscence), jangkitan, pengumpulan darah di luar saluran darah (hematoma) dan poket yang penuh dengan plasma darah di bawah kulit (seroma).

Memelihara bekalan darah ke kulit payudara semasa mastektomi menyelamatkan kulit adalah sangat penting. Apabila bekalan darah lemah, kulit tidak akan bertahan, dan pakar bedah perlu campur tangan untuk mencegah komplikasi pasca pembedahan. Biasanya, pakar bedah akan menilai warna tisu, masa yang diperlukan untuk warna kembali ke kulit setelah tekanan diberikan (pengisian kapilari), suhu, keanjalan kulit, dan pendarahan kulit.

ICGA adalah teknik pengimejan baru yang menilai bekalan darah ke tisu. Ia dapat menilai aliran darah pada kulit payudara yang lebih baik berbanding penilaian klinikal sahaja. Kami mengumpulkan kajian yang membandingkan penggunaan ICGA dengan penilaian klinikal oleh pakar bedah semasa pembedahan segera rekonstruktif payudara setelah mastektomi yang menyelamatkan kulit. Dalam kajian ini, wanita menjalani pembedahan segera rekonstruktif dengan tisu mereka sendiri dari bahagian lain badan mereka atau dengan implan payudara.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui sembilan kajian yang membandingkan jumlah komplikasi pasca pembedahan dalam kalangan wanita yang menjalani penilaian ICGA pada kulit payudara mereka berbanding penilaian klinikal. Enam kajian dilakukan di Amerika Syarikat, dua di Denmark dan satu di Jepun. Terdapat sejumlah 1589 wanita dengan 2199 pembentukan semula payudara. Kajian melaporkan jumlah komplikasi pada setiap pesakit atau setiap payudara. Kami menyampaikan maklumat berdasarkan kedua-dua jenis data.

Hasil utama analisis setiap pesakit adalah:
-ICGA dapat mengurangkan kadar pembedahan semula, dan
-kami tidak pasti sama ada ICGA mempunyai kesan terhadap kadar nekrosis kulit payudara, jangkitan, hematoma dan seroma.

Hasil utama berdasarkan payudara adalah:
-ICGA boleh mengurangkan kadar nekrosis pada kulit payudara, pembedahan semula dan jangkitan, dan
-kami tidak pasti sama ada ICGA mempunyai kesan terhadap kadar hematoma dan seroma.

Bukti yang menyumbang kepada topik ulasan ini dianggap berkualiti sangat rendah. Kajian terkawal rawak didapati sebagai salah satu kaedah yang paling kukuh dalam penyelidikan klinikal, maka ia merupakan kelemahan utama di mana kajian-kajian seperti ini tidak dijumpai. Kami menekankan perlunya kajian terkawal rawak untuk menyiasat lebih lanjut tentang penggunaan ICGA dalam pembedahan rekonstruktif payudara.

Adakah ulasan ini terkini?

Kajian yang diterbitkan hingga April 2019 telah digunakan untuk ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi Mara). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save