Apakah faedah dan risiko suntikan tunggal ketorolac (ubat anti-radang) untuk melegakan kesakitan jangka pendek selepas pembedahan dalam orang dewasa?

Mesej-mesej utama

· Ketorolac mungkin mengurangkan kesakitan jangka pendek selepas pembedahan sebanyak 50% (separuh) atau lebih dalam lebih ramai individu berbanding plasebo (rawatan dummy).
· Mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara ketorolac dan ubat-ubatan anti-radang yang lain dalam jumlah orang yang kesakitannya berkurang sebanyak separuh atau lebih.
· Ketorolac mungkin menyebabkan lebih sedikit kesan sampingan yang tidak diingini berbanding plasebo dan ubat-ubatan anti-radang yang lain; lebih banyak bukti adalah diperlukan untuk membuktikan jika ia menyebabkan kesan serius yang tidak diingini.

Merawat kesakitan jangka pendek selepas pembedahan

Adalah biasa bagi individu untuk berasa sakit dalam jangka pendek (dalam masa enam jam) selepas pembedahan. Selalunya, ubat-ubatan yang disebut sebagai ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) diberikan untuk melegakan kesakitan ini.

NSAIDS berfungsi dengan menghentikan pengeluaran bahan kimia dari badan yang menyebabkan keradangan dan kesakitan. Potensi kelebihan menggunakan NSAID ialah ia dapat mengehadkan keperluan untuk ubat penahan sakit yang lebih kuat seperti opioid. Opioid boleh menyebabkan kejadian (buruk) yang tidak diingini seperti mual dan muntah, sembelit, masalah pernafasan dan reaksi alahan. Individu boleh menjadi ketagih terhadap opioid jika mengambilnya dengan banyak.

NSAID juga boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini. Ini termasuk pendarahan di tempat luka pembedahan, dan potensi kecederaan pada buah pinggang dan usus. Oleh itu adalah penting untuk menimbang faedah dan risiko NSAID sekiranya berhasrat menggunakannya untuk mengurangkan kesakitan sejurus selepas pembedahan.

Apakah yang ingin kami tahu?

Kami ingin mengetahui tentang faedah dan risiko penggunaan NSAID khusus, ketorolac, untuk melegakan kesakitan jangka pendek selepas pembedahan. Ketorolac boleh diberikan sebagai suntikan, yang mungkin berguna apabila pesakit tidak dapat mengambil ubat melalui mulut.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melibatkan orang dewasa (berumur lebih dari 18 tahun) dan membandingkan suntikan ketorolac tunggal dengan:

· plasebo (rawatan dummy); atau
· rawatan lain.

Kami telah membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 12 kajian melibatkan sejumlah 1905 orang. Kajian-kajian tersebut telah mengkaji rawatan kesakitan selepas pembedahan pada abdomen, pelvis, gigi, tulang, sendi dan otot. Kebanyakan kajian (10) merawat individu dengan dos ketorolac 30 miligram. Mereka telah membandingkan ketorolac dengan:

· plasebo;
· NSAID lain; atau
· opioid.

Di sini kami membentangkan penemuan daripada perbandingan antara ketorolac dan plasebo atau NSAID lain.

Pengurangan kesakitan

Bukti menunjukkan bahawa:

· kira-kira sebanyak tiga kali ganda jumlah individu yang mengalami pengurangan kesakitan mereka sebanyak 50% (separuh) atau lebih dalam tempoh enam jam selepas pembedahan ketika dirawat dengan ketorolac berbanding plasebo; dan
· mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan antara ketorolac dan NSAID lain dalam jumlah individu yang mengalami pengurangan kesakitan mereka sebanyak 50% atau lebih dalam tempoh empat atau enam jam selepas pembedahan.

Keperluan ubat sakit tambahan (ubat penyelamat)

Ketorolac mungkin melambatkan keperluan ubat penyelamat berbanding plasebo atau NSAID lain. Bukti adalah tidak cukup kuat untuk menunjukkan adakah kurang individu yang memerlukan ubat penyelamat ketika dirawat dengan ketorolac.

Kesan buruk

Ketorolac mungkin menyebabkan kesan buruk yang sedikit lebih berbanding plasebo dan NSAID lain. Kesan buruk yang serius (seperti pengumpulan darah dalam otot di sekitar perut, menyebabkan kesakitan teruk) jarang berlaku dalam kajian yang kami temui; bukti menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kejadian buruk yang serius antara ketorolac dan plasebo atau NSAID lain.

Apakah had bukti tersebut ?

Kajian-kajian adalah kecil, dan kebanyakannya mungkin telah dilakukan dengan cara yang boleh memasukkan kesilapan dalam keputusannya. Ini mengehadkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Adakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga hingga April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save