Persediaan untuk pesakit kanser usus untuk pembedahan dengan pelbagai intervensi

Tujuan ulasan ini

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada pelbagai intervensi yang diperkenalkan dalam tempoh sebelum pembedahan untuk kanser usus boleh menyediakan pesakit dengan meningkatkan kecergasan keseluruhan pesakit, dan justeru itu meningkatkan hasil selepas pembedahan. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian terkawal rawak yang tersedia mengenai topik ini.

Mesej utama

Hanya tiga kajian yang memenuhi kriteria kemasukan untuk semakan ini, maklumat tidak tersedia untuk semua hasil dan kepastian keseluruhan bukti adalah sangat rendah hingga sederhana. Kajian yang lebih besar diperlukan untuk mengumpul bukti tentang topik ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Pembedahan sering diberikan untuk menyembuhkan pesakit yang didiagnosis dengan kanser usus peringkat awal. Pembedahan mempunyai kesan negatif terhadap kecergasan keseluruhan pesakit. Tahap tenaga berkurangan, pesakit lebih bergantung dalam aktiviti kehidupan harian mereka, dan kualiti hidup menurun. Tambahan pula, komplikasi mungkin berlaku selepas pembedahan menyebabkan penurunan kecergasan. Intervensi praoperasi, seperti program senaman, nasihat pemakanan dan suplemen, serta sokongan mental, boleh meningkatkan kecergasan pesakit, sebelum pembedahan. Konsep ini dipanggil prahabilitasi. Kesan pembedahan berkurangan dan seterusnya menyebabkan pemulihan yang lebih cepat dan lebih baik. Pergabungaan praoperasi tersebut menghasilkan persediaan yang lebih baik untuk pembedahan kerana setiap intervensi boleh membantu menguatkan kesan yang lain. Penulis ulasan bertujuan untuk mengkaji kesan program penyediaan pelbagai intervensi sebelum pembedahan untuk pesakit kanser usus. Penulis ulasan memberi tumpuan kepada hasil ini: kecergasan fizikal, bilangan komplikasi selepas pembedahan, kadar kematian, kualiti hidup (dinilai dengan soal selidik), tempoh tinggal di hospital, bilangan lawatan jabatan kecemasan, bilangan kemasukan semula selepas pembedahan, keselamatan program dan pematuhan program. Mereka membandingkan kumpulan dengan program prahabilitasi kepada kumpulan yang tidak menerima sebarang persediaan sebelum pembedahan, selain daripada penjagaan standard.

Keputusan utama ulasan ini

Penulis ulasan mendapati tiga kajian dengan 250 peserta dengan kanser usus, tanpa metastasis, dijadualkan untuk pembedahan. Kajian telah dijalankan di Kanada. Seramai 130 peserta mengikuti program prahabilitasi selama empat minggu sebelum pembedahan, termasuk senaman, nasihat pemakanan dan suplemen, serta teknik untuk mengurangkan kebimbangan mengenai kanser mereka dan rawatannya. 120 peserta lagi mengikuti program yang sama, tetapi hanya dimulakan selepas pembedahan, apabila mereka keluar dari hospital.

Secara keseluruhan, penulis ulasan tidak menemui peningkatan dalam mana-mana kumpulan peserta. Kepastian bukti adalah sangat rendah hingga sederhana, terutamanya kerana bilangan kajian dan peserta yang kecil terlibat dalam ulasan. Kecergasan fizikal berpotensi bertambah baik dan bilangan komplikasi serta lawatan jabatan kecemasan mungkin berkurangan pada pesakit yang menerima program prehabilitasi sebelum pembedahan. Sebaliknya, lebih banyak kemasukan semula ke hospital berlaku selepas program prahabilitasi. Oleh sebab data mengenai kadar kematian, kualiti hidup, tempoh tinggal di hospital, keselamatan program dan pematuhan program tidak lengkap atau tidak dilaporkan, penulis ulasan tidak menganalisis hasil ini. Oleh sebab kepastian bukti yang kebanyakannya rendah atau sangat rendah, penemuan ulasan ini harus ditafsirkan dengan berhati-hati.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2021 dan juga mencari kajian berterusan yang tidak diterbitkan sehingga Mac 2021. Dalam kemas kini pada masa depan bagi ulasan ini, banyak kajian yang sedang berjalan mungkin telah disiapkan, yang boleh disertakan untuk mengumpul lebih banyak bukti mengenai subjek ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal dan disunting oleh Chan Mei Wai. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information