Imunoterapi berbanding kemoterapi untuk orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil lanjut yang tidak pernah dirawat sebelumnya

Soalan ulasan

Adakah imunoterapi lebih berkesan dan kurang toksik berbanding kemoterapi untuk orang yang didiagnos kanser paru-paru bukan sel kecil (subjenis kanser paru-paru) yang tidak pernah dirawat sebelumnya dan tidak sesuai untuk rawatan kuratif?

Latar belakang

Kanser paru-paru adalah penyebab utama kematian kanser dan kanser paru-paru bukan sel kecil mewakili lebih 85% semua kes kanser paru-paru. Pembedahan kuratif dan radioterapi bukanlah pilihan rawatan apabila penyakit berada pada peringkat lanjut dan sehingga kini mereka ditawarkan kemoterapi. Sejak 2016, imunoterapi (antibodi yang merangsang sistem imun terhadap sel kanser) didapati memperbaik survival untuk para pesakit.

Kesan-kesan sampingan utama imunoterapi adalah keradangan tisu akibat pengaktifan sistem imun terhadap organ yang berlainan, sementara kemoterapi biasanya menyebabkan pengurangan sel darah putih dan sel darah merah, keguguran rambut, loya dan muntah.

Dalam Ulasan Cochrane ini, kami cuba mendapatkan keberkesanan dan keselamatan imunoterapi (diberi secara tunggal atau kombinasi) berbanding kemoterapi standard untuk orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil yang tidak sesuai untuk kemungkinan rawatan kuratif.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pengkalan data utama dan rekod mesyuarat persidangan sehingga 21 Oktober 2020. Kami menyertakan tujuh kajian (5893 peserta) yang membandingkan imunoterapi (antibodi yang berinteraksi dengan protein spesifik dipanggil titik semak imun) dengan kemoterapi untuk orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil yang tidak dirawat sebelumnya.

Keputusan utama

Kami laporkan keputusan paras PD-L1 (protein yang dihasilkan oleh sel tumor atau sel imun dan terikat oleh perencat titik semak imun).

Dalam kalangan orang dengan lebih 50% sel tumor/imun yang mengekspresi protein PD-L1, imunoterapi tunggal mungkin memperbaik survival dengan kurang kesan sampingan. Tambahan pula, rawatan dengan imunoterapi kombinasi mungkin memperbaik survival dalam kalangan kedua-dua orang dengan ekspresi protein PD-L1 yang tinggi. Kadar kesan toksik mungkin sama bagi orang yang dirawat dengan kombinasi imunoterapi atau kemoterapi.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan, kepastian bukti adalah antara sederhana hingga rendah.

Kesimpulan

Bagi orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil lanjut dengan ekspresi protein PD-L1 yang tinggi, imunoterapi sahaja atau kombinasi imunoterapi memanjangkan hayat berbanding kemoterapi. Kekerapan kesan-kesan sampingan mungkin lebih rendah dengan penggunaan imunoterapi sahaja berbanding kemoterapi. Kekerapan kesan-kesan sampingan mungkin tidak berbeza antara kombinasi imunoterapi dan kemoterapi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save