Terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif untuk gejala saluran urinari bahagian bawah dalam kalangan lelaki dengan hiperplasia prostat benigna

Soalan ulasan

Apakah kesan terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif dalam kalangan lelaki dengan gejala urinari yang mengganggu kerana prostat yang membesar?

Latar belakang

Pembesaran prostat adalah lazim dalam kalangan lelaki yang lebih tua, dan boleh menyebabkan gejala urinari yang mengganggu, seperti kerap kencing (voiding), aliran yang lemah semasa kencing, atau lelehan. Jika perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan tidak membantu, pelbagai prosedur pembedahan, termasuk reseksi transuretral prostat (TURP), dapat memperbaiki gejala. Ia juga boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini, seperti masalah dengan ejakulasi atau ereksi. Baru-baru ini, terdapat prosedur baru yang disebut 'terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif'. Adalah tidak jelas bagaimana ia berbanding rawatan-rawatan lain, seperti TURP.

Ciri-ciri kajian
Kami menemui satu kajian, dengan 197 lelaki, yang membandingkan terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif dengan prosedur sham (lelaki yang percaya mereka telah menerima rawatan, sedangkan realitinya mereka tidak), yang dibiaya oleh syarikat peranti. Purata umur lelaki adalah 62.9 tahun, dan kebanyakannya dengan gejala urinari yang mengganggu yang sederhana.

Kami tidak mendapati kajian yang membandingkan terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif dengan bentuk rawatan aktif lain, seperti TURP yang mungkin dipilih oleh lelaki dengan prostat yang membesar dengan gejala yang mengganggu.

Keputusan utama

Berbanding dengan prosedur sham, dan dengan susulan tiga bulan, terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif dapat memperbaiki gejala urinari (bukti kepastian rendah). Terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif juga memperbaiki kualiti hidup (bukti kepastian sederhana). Kami sangat tidak pasti sama ada kesan sampingan yang tidak diingini lebih lazim atau tidak (bukti kepastian sangat rendah). Ereksi dan ejakulasi lelaki mungkin serupa dalam kalangan lelaki yang menerima terapi terma wap air radiofrekuensi konvektif dengan mereka yang menerima prosedur sham (bukti kepastian rendah).

Penemuan ulasan adalah terkini sehingga 18 Februari 2020.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti bagi hasil-hasil adalah sederhana, rendah atau sangat rendah. Alasan tidak yakin berkait dengan reka bentuk kajian dan saiz kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save