Intervensi digital untuk pesakit penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)

Soalan ulasan

Adakah intervensi digital membantu orang meningkatkan pengurusan kendiri bagi COPD dan kesihatan mereka? Adakah ianya membantu mengubah tingkah laku mereka mengenai menguruskan gejala mereka?

Apakah itu COPD?

COPD adalah keadaan kronik dan progresif yang mempengaruhi saluran udara dan paru-paru. Biasanya, COPD berpunca dari pendedahan yang berpanjangan kepada bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam asap tembakau, yang menyebabkan keradangan saluran udara, dan juga pengembangan ruang udara paru-paru yang tidak normal. Oleh kerana sifat COPD yang sangat bervariasi, terdapat banyak variasi bagaimana keadaan ini mempengaruhi kehidupan individu. Batuk dan sesak nafas yang berterusan adalah ciri-ciri khas COPD, bertambah buruk semasa suar (eksaserbasi) dan menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa. Ini menjadikan aktiviti kehidupan seharian lebih sukar dan sangat mempengaruhi kualiti hidup.

Menguruskan COPD adalah kompleks dan berbeza-beza bergantung pada tahap keparahan keadaan. Teknik pengurusan diri sering berperanan dalam melegakan gejala, seperti latihan pernafasan, serta gabungan ubat-ubatan dan oksigen tambahan.

'Intervensi digital' dan 'telekesihatan' adalah istilah yang digunakan untuk merangkumi penggunaan teknologi untuk berkomunikasi dan menghantar maklumat antara pesakit dan penyedia perkhidmatan kesihatan - yang membantu menguruskan keadaan pesakit dari jauh. Ini mungkin melibatkan (tetapi tidak terbatas kepada) penggunaan aplikasi telefon bimbit atau komputer tablet untuk mencatat gejala dan fungsi paru-paru, yang memungkinkan seorang doktor menyesuaikan ubat secara real-time. Ini mungkin juga melibatkan latihan jarak jauh pesakit dalam teknik pengurusan diri. Terdapat ruang bagi mereka yang hidup dengan COPD untuk mendapat banyak manfaat dari penggunaan intervensi tersebut, yang menawarkan penyediaan penjagaan kesihatan yang senang dan dapat diakses.

Mengapakah kami melakukan ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada intervensi digital membantu orang dengan COPD dalam hal menguruskan keadaan mereka, dan jika intervensi ini berperanan dalam mengubah tingkah laku mereka terhadap pengurusan kendiri. Selain itu, kami ingin memahami teknik perubahan tingkah laku yang digabungkan dalam intervensi digital yang berbeza.

Apakah bukti yang kami temui?

Kebanyakannya, intervensi digital atau pendekatan pelbagai komponen tidak meningkatkan jarak berjalan kaki atau peningkatan kepercayaan seseorang dalam menguruskan keadaannya. Terdapat peningkatan jangka pendek dalam kualiti hidup dengan intervensi berasaskan Internet tetapi kita tidak dapat memastikan sama ada peningkatan itu dilihat dalam jangka panjang. Kesukaran bernafas boleh bertambah baik dengan penggunaan intervensi digital untuk jangka masa panjang, tetapi mungkin tidak banyak memberi kesan kepada kemerosotan. Oleh kerana data tersedia yang terhad, kami tidak dapat mengatakan dengan yakin bahawa intervensi digital dapat digunakan untuk meningkatkan kesihatan orang dengan COPD, atau bahawa mereka dapat mengurangkan bahaya. Terdapat sedikit atau tidak ada bukti mengenai kemungkinan kesan sampingan intervensi digital. Lebih banyak penyelidikan dalam bidang ini dapat memberikan kesimpulan yang lebih mantap untuk penggunaannya dan pandangan mengenai tingkah laku orang terhadap pendekatan baru ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information