Adakah sokongan tingkah laku membantu orang berhenti merokok?

Mesej-mesej utama

Sokongan tingkah laku dapat membantu lebih ramai orang berhenti merokok selama enam bulan atau lebih lama, tanpa menimbulkan kesan yang tidak diingini.

Beberapa jenis sokongan dilihat berfungsi lebih baik daripada yang lain. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menyokong orang yang cuba berhenti merokok, dan untuk mengenal pasti orang terbaik untuk menyokong mereka.

Berhenti merokok

Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh perokok untuk kesihatan mereka adalah berhenti merokok.

Kebanyakan orang yang merokok mahu berhenti, tetapi ramai yang mendapatinya sukar. Orang yang merokok boleh menggunakan ubat untuk membantunya berhenti. Sokongan tingkah laku menyediakan kaedah alternatif - atau tambahan - untuk membantu orang berhenti merokok. Kadang-kadang sokongan tingkah laku boleh digabung dengan penggantian nikotin atau ubat lain untuk membantu orang berhenti merokok.

Jenis sokongan tingkah laku boleh merangkumi: nasihat dan kaunseling tentang cara-cara untuk mempermudah berhenti merokok; maklumat tentang sebab atau cara berhenti; atau gabungan. Sokongan tingkah laku boleh diberi dalam sesi berkumpulan atau satu dengan satu.

Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu:

- jenis sokongan tingkah laku mana yang paling sesuai untuk membantu orang berhenti merokok;

- kaedah terbaik untuk memberi sokongan tingkah laku (termasuk orang terbaik untuk memberikannya); dan

- aspek sokongan tingkah laku apa yang membantu seseorang berhenti merokok.

Kami juga ingin tahu apakah sokongan tingkah laku boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari Ulasan Cochrane tentang sokongan tingkah laku untuk berhenti merokok, untuk mengenal pasti kajian dewasa merokok yang relevan. Kami kemudian membandingkan kajian-kajian tersebut untuk mengetahui sejauh mana pelbagai jenis sokongan tingkah laku membantu orang berhenti merokok.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Julai 2020.

Apa yang kami temui

Kami mendapati 33 Ulasan Cochrane, di mana kami mengenal pasti 312 kajian yang relevan melibatkan 250,503 orang dewasa (berumur 18 hingga 63 tahun) yang merokok. Kajian ini meneliti 437 kombinasi pelbagai cara untuk berhenti merokok.

Kebanyakan kajian dilakukan di AS atau Eropah Barat; 115 kajian dilakukan dalam persekitaran penjagaan kesihatan dan 195 kajian dilakukan dalam komuniti. Orang yang mengambil bahagian dalam kajian ini diikuti secara purata selama 10.5 bulan.

Kajian-kajian membandingkan kesan sokongan tingkah laku dengan:

- tiada sokongan tingkah laku;

- penjagaan biasa atau standard;

- bentuk sokongan tingkah laku yang kurang kuat; atau pendekatan lain.

Kami membandingkan semua rawatan antara satu dengan lain menggunakan kaedah matematik yang dipanggil meta-analisis rangkaian.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Berbanding tanpa sokongan tingkah laku, adalah jelas sesetengah jenis sokongan tingkah laku meningkatkan peluang orang untuk berhenti selama enam bulan atau lebih lama, termasuk: kaunselin dan memberi mereka wang kerana berjaya berhenti merokok. Lebih ramai orang berhenti merokok dengan jenis sokongan ini sama ada mereka juga mengambil ubat untuk membantu berhenti merokok.

Sokongan tingkah laku melalui pesanan teks mungkin membantu lebih ramai orang berhenti merokok berbanding tiada sokongan.

Berbanding tanpa sokongan, menyesuaikan sokongan tingkah laku kepada orang, atau sekumpulan orang yang cuba untuk berhenti merokok mungkin meningkatkan sedikit bilangan mereka berhenti merokok, begitu juga sokongan yang memfokus kepada cara berhenti merokok.

Meningkatkan intensiti sokongan yang diberi, seperti menghubungi orang lebih kerap atau menjalani sesi yang lebih lama, meningkatkan jumlah orang yang berhenti merokok secara sederhana.

Kami tidak pasti tentang:

- kesan sokongan tingkah laku jenis lain, termasuk hipnoterapi, sokongan berdasarkan senaman, dan menyertai pertandingan; dan

- kesan kepada pemberi sokongan tingkah laku.

Hanya beberapa kajian melaporkan hasil bagi kesan yang tidak diingini; di mana, sokongan tingkah laku tidak meningkatkan bilangan kesan yang tidak diingini.

Berapa yakinkah kami terhadap keputusan?

Kami yakin kaunseling dan ganjaran wang dapat membantu orang berhenti merokok; kami tidak menjangka lebih banyak bukti akan mengubah keputusan ini.

Kami kurang yakin dengan keputusan kami untuk jenis sokongan tingkah laku yang lain, dan tentang pemberi dan cara sokongannya. Kami mendapati keterbatasan dengan sesetengah kajian, termasuk cara kajian direka, dilaksana, dan dilaporkan. Keputusan-keputusan ini mungkin berubah apabila terdapat lebih banyak bukti. Lebih banyak kajian diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save