Rawatan untuk sawan epilepsi ‘catamenial’ (berkaitan dengan haid)

Latar belakang

Epilepsi ‘catamenial’ (haid) menerangkan sawan yang bertambah buruk yang dikaitkan dengan edaran haid dan boleh mempengaruhi kira-kira 40% wanita dengan epilepsi. Terdapat masa-masa tertentu di dalam edaran haid apabila wanita paling berisiko: pada hari yang menghampiri tempoh haid dan semasa haid (‘perimenstrual’ atau corak ‘catamenial’ jenis 1); pada masa ovulasi (corak ‘catamenial’ jenis 2); dan di dalam separuh kedua edaran mereka (fasa luteal atau corak ‘catamenial’ jenis 3). Peningkatan risiko ini mungkin berkait dengan perubahan paras progesteron di sekitar masa haid dan pertambahan estrogen di sekitar ovulasi. Kajian di dalam haiwan menunjukkan progesteron yang lebih rendah boleh mempengaruhi cara otak bertindak balas terhadap asid gamma-Aminobutyric (GABA), di mana ia penting dalam mencegah sawan. Hubungan antara paras estrogen yang tinggi dan risiko sawan masih tidak jelas.

Pada masa ini, rawatan epilepsi ‘catamenial’ bergantung kepada sama ada seorang wanita mempunyai tempoh haid yang regular atau tidak regular. Jika seorang wanita mempunyai haid yang regular, rawatan hormon (misalnya penambahan progesteron) dan bukan hormon (misalnya clobazam atau acetazolamide) yang diambil sebelum dan semasa haid boleh digunakan. Dalam kalangan wanita dengan haid yang tidak regular, dan tidak dapat meramalkan tempoh masa haid mereka, menghentikan haid dengan hormon sintetik (misalnya medroxyprogesterone (Depo-Provera) atau analog hormon yang melepaskan gonadotropin (GnRH) (triptorelin dan goserelin)) adalah rawatan pilihan.

Epilepsi ‘catamenial’ adalah lazim dalam kalangan wanita dengan epilepsi, dan mungkin mempunyai impak negatif ketara dalam kualiti hidup. Wanita mungkin tidak menerima rawatan yang sewajarnya untuk sawan ‘catamenial’ mereka. Terdapat ketidakpastian tentang rawatan mana yang paling berkesan dan bila rawatan patut diambil dalam edaran haid . Terdapat juga kebimbangan tentang impak ke atas kesuburan, edaran haid, kesihatan tulang, dan kesihatan kardiovaskular. Ulasan ini bertujuan untuk menangani isu-isu ini untuk memaklum amalan klinikal dan penyelidikan masa depan.

Objektif

Ulasan ini bertujuan mengkaji keberkesanan rawatan hormon dan bukan hormon untuk menghentikan sawan dalam kalangan wanita dengan epilepsi ‘catamenial’.

Kaedah

Carian terakhir kami untuk kajian-kajian adalah pada Januari 2019. Kami mencari pangkalan data elektronik kajian-kajian rawak terkawal dan kajian kuasi rawak terkawal (RCT) (kajian di mana peserta diperuntukkan kepada satu di antara dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) di mana rawatan diteruskan selama sekurang-kurangnya 12 minggu. Hasil kami adalah: purata perubahan sawan, peratusan wanita yang mencapai sekurang-kurangnya 50% pengurangan sawan, dan peratusan wanita yang bebas sawan. Kami juga memeriksa sebab-sebab mengapa wanita berhenti dari kajian dan kesan-kesan sampingan yang dilaporkan.

Keputusan

Daripada 62 rekod dalam carian kami, kami dapat menyertakan empat RCT rawatan hormon: dua kajian menilai progesteron, dan dua kajian menilai norethisterone. Di dalam kesemua RCT tersebut, rawatan dibandingkan dengan plasebo (pil gula yang tidak memudaratkan). Kami tidak menemui sebarang kajian yang menguji rawatan bukan hormon atau sebarang kajian dalam kalangan wanita dengan haid yang tidak regular. Empat RCT memasukkan 192 peserta berusia antara 13 hingga 45 tahun yang mengalami epilepsi ‘catamenial’. RCT tersebut tidak menunjukkan sebarang perbezaan ketara apabila membandingkan progesteron atau norethisterone dengan plasebo untuk hasil sawan. RCT tersebut melaporkan maklumat yang terhad tentang kesan sampingan, tetapi wanita yang mengambil progesteron tidak lebih cenderung untuk menarik diri daripada kajian akibat kesan sampingan berbanding plasebo.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti dari ulasan ini sebagai sangat rendah hingga sederhana, kerana RCT menyediakan maklumat yang tidak jelas tentang kaedah pembutaan, merekrut bilangan peserta yang kecil, dan tidak konsisten dalam melaporkan hasil rawatan.

Kesimpulan

Kami mendapati banyak bukti kepastian rendah lagi terhad, tiada perbezaan dalam hasil sawan untuk norethisterone dan progesteron berbanding plasebo dalam kalangan wanita dengan epilepsi catamenial. Ulasan kami menekankan kekurangan maklumat keseluruhan tentang keberkesanan pelbagai rawatan hormon dan bukan hormon lain yang sedang digunakan. Kajian klinikal lanjutan diperlukan dalam bidang ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save