Penggunaan steroid pada bayi untuk rawatan pernafasan laju (tachypnea sementara bayi yang baru lahir)

Soalan ulasan

Adakah pemberian steroid kepada bayi dengan masalah pernafasan laju (juga dipanggil tachypnea sementara pada bayi baru lahir) meningkatkan fungsi paru-paru dan mengurangkan keperluan untuk sokongan pernafasan?

Latar belakang

Tachypnea sementara bayi yang baru lahir dicirikan dengan kadar pernafasan tinggi (lebih daripada 60 nafas seminit) serta tanda‐tanda gangguan pernafasan (kesukaran bernafas) Ia biasanya muncul dalam dua jam pertama kehidupan pada bayi yang dilahirkan pada atau selepas usia kandungan 34 minggu.. Walaupun kebanyakan tachypnea sementara bayi yang baru lahir boleh sembuh tanpa rawatan, ia dihubungkait dengan "wheezing syndromes" pada lewat zaman kanak‐kanak. Idea di sebalik penggunaan steroid untuk tachypnoea sementara bayi baru lahir adalah berdasarkan kajian yang menunjukkan bahawa steroid boleh mengurangkan cecair dari rongga kecil dalam paru-paru yang dipanggil alveoli. Dalam Ulasan Cochrane ini kami melaporkan dan menganalisa secara kritikal bukti‐bukti yang sedia ada mengenai keberkesanan dan kemudaratan steroids dalam rawatan tachypnea sementara pada bayi yang baru lahir.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti dan memasukkan satu kajian, yang membanding steroid dengan plasebo pada 49 bayi baru lahir. Steroid telah diberikan kepada bayi melalui penyedutan. Kami tidak menemui sebarang kajian berterusan. Bukti adalah terkini sehingga Februari 2019.

Keputusan

Steroid tidak meningkatkan fungsi paru-paru atau mengurangkan keperluan sokongan pernafasan. Secara keseluruhan, kami tidak pasti sama ada steroid mempunyai kesan yang penting ke atas pernafasan yang pantas kerana hasilnya adalah tidak tepat dan hanya berdasarkan satu kajian kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information