Strategi saringan untuk hipertensi

Soalan ulasan

Apakah kesan pelbagai cara penyaringan untuk hipertensi (massa, sasaran, atau oportunistik) terhadap mengurangkan penyakit dan kematian?

Latar belakang

Hipertensi adalah penyakit tidak berjangkit (NCD) jangka panjang, juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi, menaik atau meningkat. Tekanan darah dinyatakan dengan dua ukuran (tekanan sistolik (SBP) dan diastolik (DBP)), yang merupakan tekanan maksimum dan minimum. Tekanan darah tinggi biasanya didiagnosis apabila tekanan darah semasa rehat adalah berterusan pada SBP ≥ 130/140 milimeter merkuri (mmHg) atau DBP ≥ 80/90 mmHg untuk orang dewasa.

Walaupun tekanan darah di dalam arteri terus meningkat, dalam banyak kes, tekanan darah tinggi tidak menyebabkan simptom. Namun begitu, hipertensi boleh meningkatkan risiko untuk kegagalan jantung, strok, kehilangan penglihatan, dan penyakit buah pinggang kronik, dan sebagainya, dalam jangka panjang. Orang yang mempunyai diet tidak sihat, mengambil alkohol dan/atau tembakau dalam jumlah yang berbahaya, dan tidak aktif secara fizikal adalah berisiko lebih tinggi untuk hipertensi.

Pengesanan awal, rawatan yang mencukupi, dan kawalan tekanan darah tinggi yang baik boleh merendahkan risiko komplikasi berkaitan dengan hipertensi. Walaupun pengesanan awal melalui saringan hipertensi berpotensi untuk menampung kos berkaitan kesihatan, mengurangkan beban hipertensi akan sedikit sebanyak melibatkan menangani faktor risiko tingkah laku dan sosioekonomi (seperti pendapatan, pekerjaan, dan tahap pendidikan). Oleh itu, adalah tidak jelas sama ada pengesanan awal hipertensi ringan boleh memberi kesan yang positif terhadap kos berkaitan dengan kesihatan dalam jangka panjang dan menambah baik hasil kesihatan dengan mengurangkan keperluan untuk hospitalisasi dan pengurusan komplikasi berkaitan hipertensi, yang boleh menjadi teruk.

Kaedah ulasan

Kami mencari pelbagai pangkalan data elektronik mengenai topik ini sehingga 9 April 2020. Kami mencari kajian bertulis dalam sebarang bahasa, sama ada diterbitkan atau tidak. Kami merancang untuk menyertakan kajian yang membandingkan satu jenis strategi penyaringan untuk hipertensi berbanding tiada strategi penyaringan, iaitu, penyaringan massa berbanding tiada penyaringan, penyaringan sasaran berbanding tiada penyaringan, dan penyaringan oportunistik berbanding tiada penyaringan. Kami berminat dalam kajian yang mana peserta adalah remaja, orang dewasa, dan orang tua yang sihat, dan yang mana penyelidik mengukur hasil klinikal, hasil sistem kesihatan, dan peristiwa buruk.

Keputusan utama

Kami tidak menemui kajian yang memenuhi kriteria yang dinyatakan di atas.

Kualiti bukti

Bukti kepastian yang tinggi yang boleh memberitahu kita sama ada strategi penyaringan massa, sasaran, atau oportunistik adalah berkesan untuk mengurangkan penyakit dan kematian berkaitan dengan hipertensi adalah kurang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save