Intervensi untuk pengekalan remisi teraruh pembedahan dalam penyakit Crohn

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui ubat yang paling berkesan untuk mengekalkan remisi dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn yang telah menjalani pembedahan untuk mencapai remisi. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini. Kami meneliti kajian-kajian tersebut menggunakan kaedah yang dikenali sebagai meta-analisis rangkaian (NMA) untuk membandingkan dan menilai semua rawatan dari segi relaps klinikal, relaps endoskopi dan keselamatan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Penyakit Crohn adalah penyakit usus kronik. Ia berubah dari masa orang mengalami penyakit yang memberang (relaps) hingga masa mereka dalam keadaan sihat (remisi). Gejala-gejala termasuklah sakit abdomen, cirit-birit dan hilang berat badan. Orang dengan penyakit Crohn boleh menjalani pembedahan untuk membuang bahagian usus yang berpenyakit dan mencapai remisi. Walau bagaimanapun, gejala-gejala boleh muncul semula. Pelbagai ubatan boleh diberi untuk memastikan orang dengan penyakit Crohn kekal dalam remisi untuk selama mungkin. Ubat-ubatan ini termasuk mesalazine, antibiotik, kortikosteroid, dan adalimumab, antara lainnya. Walaupun ubat-ubatan ini diketahui dapat mengurangkan keradangan (sakit dan bengkak) usus, kesan sampingan boleh terjadi dengan penggunaannya. Kami ingin tahu rawatan mana yang paling selamat dan paling berkesan untuk mengekalkan remisi dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn selepas pembedahan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 15 Januari 2019.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menyertakan 35 kajian yang relevan, yang diterbitkan antara 1976 dan 2018. Kajian-kajian melibatkan sejumlah 3249 peserta yang kebanyakannya orang dewasa. NMA kami merangkumi 26 kajian (2581 peserta) dan membandingkan sembilan kumpulan rawatan seperti asid 5-aminosalicylic, adalimumab, antibiotik, budesonide, infliximab, probiotik, analog purina, sulfasalazine, dan gabungan sulfasalazine dan prednisolon, yang diguna untuk mencegah relaps selepas pembedahan dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn. Adalimumab boleh mengurangkan kemungkinan relaps klinikal berbanding plasebo (rawatan dami). Asid 5-aminosalicylic mungkin mengurangkan kemungkinan relaps klinikal berbanding plasebo. Budesonide mungkin tidak berkesan untuk mencegah relaps klinikal. Keseluruhan bukti rangkaian adalah kepastian rendah kerana bilangan peserta yang kecil dalam kajian dan kajian-kajian berisiko bias tinggi. Ini bermakna keyakinan kami terhadap keputusan-keputusannya adalah terhad. Penyelidikan untuk memahami kesan rawatan terhadap relaps dan keselamatan endoskopi adalah terhad, walau bagaimanapun kes pankreatitis dan leukopenia dilaporkan dalam kalangan peserta yang menerima analog purina.

Mesej utama

Kami tidak pasti rawatan mana yang paling berkesan untuk mencegah relaps pascabedah penyakit Crohn. Walaupun terdapat penyelidikan terhad tentang mudarat (kesan sampingan) rawatan-rawatan ini, kejadian pankreatitis dan leukopenia dilaporkan dalam kalangan peserta yang menerima analog purina.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information