Antibiotik perioperatif untuk mencegah jangkitan tapak selepas pembedahan dalam penerima pemindahan organ pepejal

Apakah isunya?
Orang yang menerima pemindahan organ adalah berisiko tinggi untuk dijangkiti disebabkan oleh pembedahan yang rumit dan pertahanan imun badan yang lemah terhadap jangkitan oleh ubat anti-penolakan. Kuman yang menyebabkan jangkitan pada waktu pemindahan mungkin berasal dari tubuh orang, organ yang dipindahkan, atau persekitarannya. Bergantung pada jenis organ yang dipindahkan dan era di mana pemindahan tersebut berlaku, jangkitan di tapak pembedahan dilaporkan berlaku berikutan 3% hingga 53% pembedahan pemindahan. Jangkitan tapak pembedahan adalah jangkitan yang berlaku selepas pembedahan di bahagian badan di mana pembedahan itu berlaku. Ini termasuk kemerahan pada luka dan / atau discaj nanah, yang, jika tidak diubati dengan antibiotik atau pembedahan lebih lanjut, boleh menyebabkan jangkitan aliran darah, jangkitan organ-organ lain dalam badan (termasuk organ yang dipindahkan) atau bahkan kematian. Mengelakkan jangkitan tapak pembedahan dapat meningkatkan kelangsungan hidup pesakit dan transplantasi. Pemberian antibiotik sekitar waktu pembedahan transplantasi dapat membantu mencegah jangkitan tapak pembedahan tetapi hal ini belum dikaji secara sistematik. Pemberian antibiotik juga bukan tanpa risiko bahaya kerana antibiotik diketahui mendorong perkembangan kuman rintang antibiotik, menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, dan memerlukan duit.

Apa yang kami lakukan?
Kami mengulas penulisan sehingga April 2020, dan menemui lapan kajian (718 peserta dirawakkan) yang menilai sama ada antibiotik yang diberikan sekitar waktu pembedahan transplantasi mencegah jangkitan tapak pembedahan pada penerima organ transplantasi.

Apa yang kami temui?
Jika dibandingkan dengan tiada antibiotik, kami tidak pasti sama ada antibiotik mengurangkan kejadian jangkitan di tapak pembedahan kerana kepastian bukti dinilai sebagai sangat rendah. Jika dibandingkan dengan antibiotik jangka pendek, kita tidak pasti sama ada antibiotik jangka masa panjang mengurangkan kejadian jangkitan di tapak pembedahan kerana kepastian bukti dinilai sebagai sangat rendah. Kajian-kajian dihadkan oleh saiz yang kecil, tempoh susulan yang singkat, kualiti metodologi yang tidak optimal, dan laporan hasil yang tidak konsisten. Akibatnya, kesan antibiotik dalam mencegah jangkitan tapak pembedahan daripada berlaku dalam orang yang menerima pemindahan organ adalah tidak dapat dipastikan.

Kesimpulan
Tidak dapat dipastikan sama ada antibiotik bermanfaat bagi penerima pemindahan organ pepejal untuk pencegahan jangkitan tapak pembedahan. Kami tidak mempunyai cukup data untuk mengira dengan tepat beberapa kesan antibiotik. Kajian terkawal secara rawak tentang penggunaan antibiotik berbanding plasebo atau dos tunggal berbanding jangka pendek penggunaan antibiotik adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information