Terapi berasaskan sel stem berikutan pengoksigenan otak yang lemah semasa kelahiran (ensefalopati hipoksia-iskemia) dalam bayi yang baru lahir

Soalan ulasan

Adakah terapi berasaskan sel stem dapat menyelamatkan nyawa, atau meningkatkan perkembangan jangka panjang, bagi bayi yang baru lahir yang mengalami pengoksigenan otak yang lemah semasa kelahiran (ensefalopati hipoksia-iskemia)?

Latar belakang

Kekurangan oksigen semasa kelahiran boleh merosakkan otak bayi yang baru lahir. Bayi dengan kerosakan otak yang kurang teruk mungkin pulih sepenuhnya atau hanya mengalami masalah yang ringan. Untuk bayi-bayi lain dengan kerosakan yang lebih serius, kematian atau masalah-masalah lain boleh terjadi pada kemudian hari. Contohnya, sebilangan bayi ini mengalami cerebral palsi, kecacatan intelektual, atau masalah-masalah lain. Kini kami hanya mempunyai penyejukan sebagai pendekatan untuk merawat keadaan ini. Ulasan ini bertujuan untuk menilai jika terapi berasaskan sel stem dapat mengurangkan kematian dan meningkatkan perkembangan jangka panjang dalam bayi dengan pengoksigenan otak yang lemah semasa lahir. Sewaktu terapi berasaskan sel stem dijalankan, sel stem diberikan kepada bayi, misalnya melalui suntikan. Sel stem ini mungkin berasal dari manusia atau haiwan dan mungkin diambil dari darah tali pusat, sumsum tulang atau bahagian badan yang lain. Sel-sel ini kemudiannya memperbaiki sel-sel otak yang dirosakkan oleh kekurangan oksigen.

Keputusan utama

Kami tidak dapat memasukkan apa-apa kajian dalam ulasan kami. Kami mengenal pasti tiga kajian berpotensi, tetapi kami telah kecualikan kerana cara ianya direka yang bermaksud keputusan-keputusannya tidak dapat menjawab persoalan ulasan kami (kajian fasa 1). Lima belas kajian sedang berjalan.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskini?

Kami telah mencari kajian yang ada sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, class of 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save