Antibiotik profilaksis untuk orang dengan COPD

Soalan ulasan

Antibiotik pencegahan yang manakah berkesan dan selamat untuk mengurangkan eksaserbasi, meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan kesan-kesan sampingan serius dalam orang dengan COPD?

Apakah itu COPD?

COPD adalah keadaan paru-paru yang boleh menyebabkan masalah pernafasan jangka panjang. Gejala-gejala termasuklah sesak nafas, batuk, dan penghasilan kahak. Flare-up (dipanggil eksaserbasi) boleh dicetuskan oleh jangkitan atau keradangan, menyebabkan gejala yang semakin teruk dan kerosakan paru-paru. Eksaserbasi yang kerap boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup dan meningkatkan risiko kematian.

Mengapakah kami melakukan ulasan ini?

Kami ingin mengetahui jika satu jenis antibiotik pencegahan adalah lebih baik daripada yang lain dalam mengurangkan eksaserbasi, meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan kesan-kesan sampingan. Kami melakukan ini dengan menggunakan maklumat dari dua ulasan sebelumnya dan membandingkan antibiotik yang berbeza dengan satu sama lain, dan dengan rawatan kawalan (dipanggil plasebo), dengan menghasilkan rangkaian. Oleh sebab maklumat adalah terhad, rangkaian itu membolehkan kami menggabungkan maklumat dan menentukan antibiotik pencegahan terbaik dengan menyusun kedudukan mereka dari segi kebolehan untuk mengurangkan eksaserbasi, meningkatkan kualiti hidup, dan mengurangkan kesan-kesan sampingan serius.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami menguji tiga jenis antibiotik: macrolides, quinolone, dan tetracyclines. Makrolides adalah lebih baik dalam mengurangkan eksaserbasi berbanding dengan rawatan kawalan. Tiada perbezaan yang jelas dalam eksaserbasi apabila quinolone atau tetracycline dibandingkan dengan rawatan kawalan. Tetracycline berada di peringkat yang lebih rendah daripada plasebo dalam mengurangkan eksaserbasi. Kami menggunakan data untuk setiap kumpulan antibiotik untuk memberi peringkat kumpulan antibiotik mengikut kemampuan mereka untuk mengurangkan eksaserbasi. Kami mendapati bahawa makrolides berada di kedudukan pertama, diikuti oleh quinolone (kedua). Tetracycline berada di kedudukan keempat dan adalah tidak lebih baik daripada rawatan kawalan (kedudukan ketiga).

Makrolides meningkatkan kualiti hidup berbanding dengan rawatan kawalan. Quinolone didapati tidak memberi kesan kepada kualiti hidup, dan tetracycline mungkin dikaitkan dengan kualiti hidup yang bertambah buruk berbanding dengan rawatan kawalan.

Makrolides adalah lebih berkesan dalam mengurangkan peristiwa-peristiwa tidak diingini yang serius. Tiada manfaat yang jelas untuk peristiwa-peristiwa tidak diingini yang serius dengan quinolone, tetracycline, atau gabungan makrolide ditambah tetracycline berbanding dengan rawatan kawalan.

Kami tidak dapat dengan jelas menunjukkan manfaat atau bahaya penggunaan antibiotik pencegahan untuk ketahanan mikrob.

Kualiti bukti

Kami tidak menemui sebarang kebimbangan mengenai cara-cara kajian-kajian dijalankan, kecuali untuk beberapa kajian, orang yang mengumpulkan maklumat mengetahui (1) pesakit mana dimasukkan ke kumpulan rawatan yang mana, dan (2) keputusan pesakit apabila rawatan selesai. Keseluruhannya, maklumat berangka itu adalah kukuh dan tidak mungkin dipengaruhi oleh perbezaan yang dinyatakan antara kajian individu.

Kesimpulan

Kami mendapati eksaserbasi dikurangkan, kualiti hidup bertambah baik, dan peristiwa-peristiwa tidak diingini adalah berkurangan dengan makrolies berbanding dengan rawatan kawalan. Kami tidak dapat menentukan sama ada quinolone atau tetracycline adalah bermanfaat berbanding dengan rawatan kawalan. Makrolides berada di kedudukan tertinggi, diikuti quinolone, yang berada di kedudukan kedua. Tetracycline adalah tidak lebih baik daripada rawatan kawalan (masing-masing kedudukan keempat dan ketiga). Walaupun NMA ini menunjukkan beberapa manfaat menggunakan makrolides, mereka adalah berdasarkan jumlah kajian yang terhad, dan kebimbangan kekal mengenai ketahanan antibiotik dengan penggunaan antibiotik jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochranne@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save