Pemvaskularan semula arteri iliak dalaman berbanding oklusi arteri iliak dalaman untuk rawatan endovaskular aneurisme aorto-iliak

Latar belakang

Aneurisme aorta-iliak adalah dilatasi (aneurisme) aorta, saluran darah besar utama dalam badan, yang membawa darah keluar dari jantung ke semua organ dan arteri iliak (cabang distal aorta). Aneurisme boleh membesar dan pecah, yang menyebabkan pendarahan teruk dan sering membawa maut; dianggarkan 15,000 kematian berlaku setiap tahun dari aneurisme aorta abdomen yang pecah di AS sahaja. Bagi mengelakkan komplikasi ini, aneurisme aorto-iliak harus diperbaiki apabila diameter maksimum aorta mencapai 5 cm hingga 5.5 cm, atau apabila diameter maksimum arteri iliak umum mencapai 3 cm hingga 4 cm.

Pembaikian endovaskular aneurisme aorto-iliak adalah satu pendekatan yang digunakan untuk menguruskan keadaan ini: tiub (sten-graf) diletakkan di dalam aneurisme aorto-iliak, supaya darah mengalir melalui sten-graf itu dan tidak lagi memasuki aneurisme, mengeluarkannya dari peredaran darah. Bagi mencapai peletakan sten-graf yang berjaya, zon penutupan yang baik (zon pengikatan) diperlukan dalam aorta (proksimal) dan dalam arteri iliak umum (distal). Walau bagaimanapun, dalam 40% pesakit, zon penutupan distal dalam arteri iliak umum tidak mencukupi. Dalam kes ini, biasanya sten-graf dilanjutkan hingga ke arteri iliak luaran dan arteri iliak dalaman disekat (oklusi). Walau bagaimanapun, penyumbatan (oklusi) ini adalah tidak tanpa kemudaratan: arteri iliak dalaman membekalkan darah ke organ pelvis (rektum, pundi kencing, dan organ pembiakan) dan otot pelvis, dan oklusi dikaitkan dengan komplikasi di bahagian pelvis seperti klaudikasi punggung (kesakitan kekejangan di punggung semasa bersenam), disfungsi seksual, dan kecederaan saraf tunjang.

Alat dan teknik endovaskular baru seperti alat cabang iliak telah muncul untuk mengekalkan aliran darah ke dalam arteri iliak dalaman. Sten-graf khas ini meletakkan zon penutupan distal dalam arteri iliak luaran, dan cabang sisi graf ini membolehkan pemvaskularan semula arteri iliak dalaman, sambil mengecualikan aneurisme dari peredaran darah, mempromosikan zon penutupan distal yang mencukupi, dan mengekalkan peredaran darah pelvis. Ini juga dapat mengekalkan kualiti individu yang dirawat dan mengurangkan komplikasi serius termasuk iskemia saraf tunjang, kolitis iskemia, dan nekrosis gluteal.

Ulasan ini bertujuan untuk menilai kesan pemvaskularan semula arteri iliak dalaman berbanding dengan oklusi arteri iliak dalaman semasa pembaikian endovaskular aneurisme aorto-iliak.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mencari bukti yang secara langsung membandingkan pemvaskularan semula arteri iliak dalaman berbanding oklusi arteri iliak dalaman untuk rawatan endovaskular aneurisme aorto-iliak. Pencarian kami sehingga 28 Ogos 2019 tidak mengenal pasti sebarang kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang mana orang diletakkan secara rawak (secara kebetulan sahaja) ke dalam salah satu daripada beberapa kumpulan intervensi) yang memenuhi kriteria kami. Kajian diperlukan untuk membantu pakar bedah vaskular dan endovaskular memilih pilihan terbaik untuk pembaikian endovaskular aneurisme aorto-iliak dan mengasingkan aneurisme iliak dengan zon pengikatan distal yang tidak mencukupi.

Kesimpulan

Kami tidak menemui RCT yang membandingkan pemvaskularan semula arteri iliak dalaman berbanding oklusi arteri iliak dalaman untuk rawatan endovaskular aneurisme aorto-iliak. Kajian berkualiti tinggi yang menilai strategi terbaik untuk menguruskan pembaikian endovaskular aneurisme aorto-iliak dengan zon penutupan distal yang tidak mencukupi dalam arteri iliak umum diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Norsarwany Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information