Teknik PETTICOAT berbanding TEVAR standard untuk diseksi aorta jenis B yang rumit

Latar belakang

Aorta adalah saluran darah yang terbesar di dalam badan, menghantar darah dari jantung ke otak, organ dan kaki dan tangan. Diseksi aorta adalah belahan dinding aorta, kecederaan yang menyebabkan darah mengalir ke dalam dinding saluran darah. Aorta menaik bermula di bahagian atas ventrikel kiri jantung. Jika aorta menaik tidak terlibat dalam diseksi aorta, ia dikenali sebagai ‘jenis B yang rumit’. Orang dengan diseksi aorta jenis B yang rumit mungkin datang dengan aorta pecah atau akan pecah, hipertensi berterusan walaupun dengan ubat, simptom kelumpuhan separa di kaki (paraparesis), tidak cukup bekalan darah ke organ (malperfusi organ) dan kesakitan dada atau abdomen yang sukar dikawal (kesakitan refraktori). Pembaikian aorta endovaskular toraks (TEVAR; prosedur yang invasif secara minimum untuk membaiki aorta) telah menjadi pilihan pertama untuk merawat diseksi aorta jenis B yang rumit. Walau bagaimanapun, hasil-hasil yang baik untuk aorta yang dibaiki biasanya hanya dilihat pada tempat yang diliputi sten. Teknik PETTICOAT memperluas segmen yang diliputi dengan menggunakan sten logam terdedah untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Adalah tidak jelas sama ada PETTICOAT lebih baik daripada TEVAR.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami menjalankan carian literatur komprehensif pada 5 November 2018 untuk semua kajian rawak terkawal yang menjawab soalan ulasan ini. Kami tidak menemui kajian rawak terkawal mengenai topik ini.

Kualiti bukti

Kami tidak dapat menilai kualiti bukti kerana tiada kajian disertakan dalam ulasan ini.

Kesimpulan

Kajian rawak terkawal diperlukan untuk memberikan bukti kukuh bagi topik ini. Bukti dari kajian tidak rawak dengan saiz sampel yang besar juga membantu dalam menggariskan amalan klinikal.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney) Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save