Suplemen vitamin C untuk pencegahan dan rawatan radang paru-paru (pneumonia)

Soalan ulasan

Apakah peranan suplemen vitamin C dalam pencegahan dan rawatan radang paru-paru dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak berbanding tanpa suplemen?

Latar belakang

Radang paru-paru adalah jangkitan yang disebabkan oleh virus, bakteria, dan kulat. Vitamin C berperanan dalam sistem imunisasi, oleh itu suplemen adalah penting dalam mencegah dan merawat radang paru-paru dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa. Kami telah menilai peranan vitamin C untuk pencegahan dan rawatan radang paru-paru.

Tarikh carian

Kami telah mencari bukti sehingga 4 Mac 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami merangkumi lima kajian dan dua kajian yang sedang dijalankan. Lima kajian yang telah disertakan melibatkan sejumlah 2655 peserta dan kajian-kajian tersebut telah dijalankan di satu negara yang berpendapatan tinggi (USA) serta dua negara yang berpendapatan rendah-sederhana (Bangladesh dan Pakistan). Tiga kajian telah dijalankan dalam lokasi hospital, satu di sekolah, dan satu dalam pusat latihan ketenteraan. Tiga kajian melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, satu kanak-kanak sekolah, dan satu peserta dewasa. Dua kajian menilai kesan suplemen vitamin C untuk pencegahan radang paru-paru; dan tiga kajian menilai kesan suplemen vitamin C dalam rawatan radang paru-paru. Dos suplemen vitamin C yang digunakan ialah 125 mg, 200 mg, 1 g, dan 2 g.

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian dibiaya oleh syarikat farmaseutikal. Tiga kajian tidak melaporkan sumber dana.

Keputusan utama

Kami telah menilai kadar radang paru-paru (insiden), kekerapan radang paru-paru (prevalens), jumlah kematian akibat radang paru-paru (mortaliti), dan hasil yang tidak diingini dan berbahaya (kesan buruk) yang berhubung-kait dengan vitamin C untuk mencegah radang paru-paru. Hanya satu kajian (674 peserta) yang telah melaporkan insiden, dan satu kajian telah melaporkan satu kesan buruk (gatal-gatal) yang berkaitan dengan vitamin C untuk mencegah radang paru-paru. Tidak ada kajian yang melaporkan tentang prevalens atau mortaliti. Bukti tidak mencukupi untuk menentukan kesan vitamin C bagi mencegah radang paru-paru.

Kami juga telah menilai tempoh sakit yang dialami (tempoh penyakit), berapa banyak pesakit yang telah sembuh, kematian, dan kesan-kesan buruk yang berkaitan dengan penggunaan vitamin C sebagai rawatan bagi radang paru-paru. Hanya satu kajian yang melaporkan tempoh penyakit. Tiada kajian yang melaporkan kadar penyembuhan atau kesan-kesan buruk. Bukti adalah tidak mencukupi untuk menentukan kesan vitamin C bagi merawat radang paru-paru.

Kepastian bukti

Kami telah menilai kajian-kajian yang telah disertakan sebagai mempunyai risiko bias yang tinggi keseluruhannya atau tidak jelas risikonya. Kepastian bukti sebagai pada tahap yang sangat rendah disebabkan oleh had kajian, variasi antara kajian, saiz sampel yang kecil dan ketidaktentuan dalam anggaran.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim Bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information