Indomethacin untuk patent ductus arteriosus bergejala pada bayi pramatang

Soalan ulasan

Kami ingin melihat betapa selamat dan berkesannya indomethacin jika dibandingkan dengan tiada rawatan atau plasebo (bahan tanpa kesan terapeutik) dalam merawat patent ductus arteriosus (PDA) bergejala pada bayi pramatang.

Latar belakang

PDA adalah komplikasi yang biasa berlaku pada bayi pramatang dan berat badan yang rendah. PDA adalah saluran vaskular terbuka antara paru-paru dan jantung, yang biasanya tertutup sejurus selepas kelahiran. Pada bayi pramatang, PDA kekal terbuka dan boleh menyumbang kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Kami ingin melihat apakah ubat yang biasa digunakan untuk menutup PDA, indomethacin, lebih baik atau lebih buruk daripada tidak ada rawatan atau plasebo untuk bayi pramatang yang mengalami gejala dari PDA mereka.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) pada bayi pramatang (lahir kurang dari 37 minggu kehamilan) atau bayi berat lahir rendah (berat kurang dari 2500g) dengan PDA bergejala yang didiagnosis dengan kombinasi gejala klinikal dan/atau ultrasound jantung. Kajian yang disertakan membandingkan indomethacin berbanding tanpa rawatan atau plasebo Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 31 Julai 2020.

Keputusan utama

Tinjauan 14 ujian klinikal (880 bayi) ini mendapati bahawa indomethacin sangat berkesan untuk menutup PDA, mengurangkan risiko PDA kekal terbuka pada satu minggu sebanyak 70%, jika dibandingkan dengan tiada rawatan atau plasebo. Dari keseluruhan 14 kajian, lapan melaporkan kematian, yang tidak berbeza antara kumpulan. Hanya satu kajian yang melaporkan jumlah bayi yang memerlukan oksigen pada 28 hari kehidupan, dan hanya satu kajian yang melaporkan jumlah bayi yang menggunakan oksigen pada usia 36 minggu pasca haid (berapa minggu kehamilan ditambah berapa lama bayi itu masih hidup). Data tidak mencukupi untuk memungkinkan kesimpulan mengenai hasil ini. Kedua-dua kajian menunjukkan tidak ada perbezaan antara mereka yang menerima indomethasin atau tanpa rawatan atau plasebo. Kesan sampingan ubat-ubatan atau kesan buruk lain (seperti pendarahan usus, kecederaan buah pinggang, dan jangkitan usus / kekurangan aliran darah yang disebut necrotizing enterocolitis) tidak berbeza antara kumpulan.

Kepastian bukti

Menurut GRADE (kaedah yang digunakan untuk menilai kepastian ujian yang menyokong setiap hasil), bukti kepastian tinggi menunjukkan bahawa indomethasin berkesan untuk menutup PDA pada bayi pramatang dengan gejala. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang cukup untuk mengatakan jika indomethasin membantu mengurangkan kematian atau kecederaan paru-paru. Juga, tidak ada bukti yang cukup untuk mengatakan jika indomethacin menyebabkan peningkatan bahaya berbanding tanpa rawatan atau plasebo. Lebih banyak kajian diperlukan untuk melihat apakah indomethacin dapat mengurangkan kematian atau kecederaan paru-paru pada bayi dengan PDA bergejala.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save