Rawatan untuk ascites dalam orang dengan penyakit hati yang lanjut

Apakah matlamat ulasan Cochrane ini?
Untuk mengetahui rawatan yang terbaik untuk ascites (bendalir tidak normal yang terbina dalam perut) pada orang dengan penyakit hati yang lanjut (cirrhosis hati, atau peringkat lewat parut hati dengan komplikasi). Orang dengan cirrhosis dan ascites mempunyai risiko kematian yang ketara. Oleh itu, adalah penting untuk merawat orang sedemikian, tetapi manfaat dan kemudaratan rawatan yang berbeza yang ada sekarang adalah tidak jelas. Penulis ulasan ini mengumpul dan menganalisis semua kajian penyelidikan yang berkaitan dengan tujuan untuk mencari rawatan yang terbaik. Mereka mendapati 49 kajian terkawal rawak (kajian di mana peserta diberikan secara rawak kepada salah satu daripada dua kumpulan rawatan). Semasa analisis data, penulis menggunakan kaedah piawai Cochrane, yang membolehkan perbandingan hanya dua rawatan pada satu masa. Penulis juga menggunakan teknik maju yang membolehkan perbandingan pelbagai rawatan secara serentak (biasanya dirujuk sebagai 'rangkaian (atau tidak langsung) meta-analisis').

Tarikh carian penulisan
Mei 2019

Mesej-mesej utama
Tidak ada kajian yang dijalankan tanpa kelemahan, dan kerana ini, terdapat ketidakpastian yang sangat tinggi dalam penemuan. Kira-kira satu dalam tiga peserta kajian dengan cirrhosis dan ascites yang menerima rawatan piawai saliran cecair (paracentesis) termasuk penggantian cecair telah meninggal dunia dalam masa 11 bulan rawatan. Sumber pembiayaan kajian adalah tidak jelas dalam 21 kajian; organisasi komersial membiayai empat kajian. Tidak ada sebarang kebimbangan mengenai sumber pembiayaan untuk baki 24 kajian.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Ulasan ini melihat pada orang dewasa pelbagai jantina, umur, dan asal etnik, dengan penyakit hati yang lanjut kesan dari pelbagai sebab dan ascites. Peserta diberi rawatan yang berbeza untuk ascites. Penulis mengecualikan kajian dalam orang yang sebelum ini menjalani pemindahan hati. Umur purata peserta, apabila dilaporkan, adalah dari 43 hingga 64 tahun. Rawatan yang digunakan dalam kajian termasuk paracentesis serta penggantian cecair (pada masa ini dianggap sebagai rawatan piawai), kelas diuretik yang berbeza (ubat yang meningkatkan pengeluaran air kencing), dan transjugular intrahepar portosystemic shunt (saluran tiruan yang menghubungkan salur darah yang berbeza yang membawa darah yang kekurangan oksigen (sistem ventrikel)) dalam hati untuk mengurangkan tekanan yang dibina di dalam sistem ventrikel portal, salah satu daripada dua sistem ventrikel yang menyalirkan hati. Penulis ulasan mahu mengumpul dan menganalisis data mengenai kematian (peratusan mati pada susulan yang maksimum), kualiti hidup, kejadian buruk yang serius dan tidak serius, masa untuk pemindahan hati, resolusi ascites, dan pembangunan komplikasi lain penyakit hati yang lanjut.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
49 kajian tersebut melibatkan bilangan peserta yang kecil (3521 peserta). Data kajian adalah jarang. Empat puluh dua kajian dengan 2870 peserta menyediakan data untuk analisis. Penyertaan peserta kajian adalah berkisar dari kurang daripada satu minggu hingga tujuh tahun. Ulasan menunjukkan bahawa terdapat bukti yang rendah atau sangat rendah bagi perkara berikut:

-Kira-kira satu dalam tiga orang dengan cirrhosis dan ascites yang menerima rawatan piawai saliran cecair (paracentesis) termasuk penggantian cecair telah meninggal dunia dalam tempoh 11 bulan.
-Tiada intervensi yang menurunkan peratusan kematian, jumlah komplikasi, dan pemindahan hati berbanding dengan paracentesis ditambah dengan penggantian bendalir.
-Transjugular intrahepar portosystemik shunt boleh menjadi sembilan kali lebih berkesan dalam resolusi ascites berbanding dengan paracentesis ditambah dengan penggantian bendalir.
-Menambah aldosterone antagonists (sejenis diuretik) boleh jadi 30 kali lebih berkesan dalam resolusi ascites berbanding dengan paracentesis ditambah dengan penggantian bendalir.
-Menggunakan aldosterone antagonists ditambah dengan gelung diuretik (sejenis diuretik yang lain) sebagai pengganti untuk paracentesis ditambah dengan penggantian cecair boleh menggandakan pembangunan komplikasi lain bagi cirrhosis hati.
-Tiada kajian yang membandingkan rawatan lain dengan paracentesis ditambah penggantian bendalir yang melaporkan kualiti kesihatan yang berkaitan dengan kehidupan atau pemulihan gejala dari ascites.
-Kajian pada masa depan yang direka dengan baik adalah diperlukan untuk mengetahui rawatan yang terbaik untuk orang dengan cirrhosis dan ascites.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information