Latar belakang
Setiap hari, para pekerja di pelbagai industri bersentuhan dengan logam berbahaya yang dikenali sebagai plumbum. Tidak ada tahap pendedahan kepada plumbum yang diketahui yang tidak membahayakan kesihatan, oleh itu, mengurangkan pendedahan adalah mustahak. Program pendidikan dan latihan dapat mengelakkan penyerapan plumbum dalam kalangan para pekerja.
Apakah matlamat ulasan ini?
Kami mencari lima pangkalan data untuk kajian rawak secara terkawal (RCT) dan bukan rawak untuk menilai keberkesanan program-program pendidikan ini.
Mesej utama
Intervensi pendidikan mungkin dapat mencegah keracunan plumbum pada para pekerja tetapi kami sangat tidak yakin dengan penemuan ini, oleh itu lebih banyak kajian yang lebih berkualiti adalah diperlukan.
Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Kami memasukkan empat kajian sebelum-dan-selepas yang tidak terkawal dalam ulasan ini. Kajian-kajian ini menilai keberkesanan intervensi pendidikan untuk mencegah penyerapan plumbum pada pekerja yang terdedah kepada plumbum. Kami menilai risiko bias yang kritikal dalam tiga kajian dan risiko bias sederhana dalam satu kajian.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Bukti berkualiti rendah dari tiga kajian dengan peserta yang mempunyai tahap asal yang tinggi bagi plumbum dalam darah, menunjukkan penurunan plumbum dalam darah setelah pendidikan; satu kajian dengan peserta dengan tahap asal yang rendah bagi plumbum dalam darah mendapati hasil yang bertentangan. Bukti berkualiti sangat rendah dari satu kajian menunjukkan penurunan tahap plumbum dalam air kencing.
Mungkin ada kesannya, tetapi kami sangat tidak pasti jika intervensi pendidikan adalah berkesan untuk mencegah keracunan plumbum pada pekerja dengan tahap asal yang tinggi bagi plumbum dalam darah dan air kencing. Bagi pekerja yang mempunyai tahap asal yang rendah untuk plumbum darah, hasilnya adalah tidak dapat disimpulkan.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Kami mencari kajian-kajian sehingga 5 Jun 2020.
Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my