Mengurangkan ketumpatan payudara berikutan terapi endokrin sebagai penunjuk risiko kanser payudara

Apakah isunya?

Kanser payudara adalah kanser biasa dan punca kematian di kalangan wanita di seluruh dunia. Pilihan rawatan untuk kanser payudara termasuk terapi endokrin. Terapi endokrin juga boleh digunakan untuk mencegah kanser payudara bagi wanita yang belum didiagnosis dengan kanser payudara. Ia akan membantu doktor dan pesakit mereka untuk memahami sama ada sesetengah pesakit berkemungkinan mendapat manfaat yang lebih besar daripada terapi endokrin berbanding yang lain. Struktur payudara mungkin berubah selepas terapi endokrin. Perubahan struktur ini dilihat apabila wanita mempunyai mamogram (x-ray payudara). Perubahan struktur boleh dikesan sebagai penurunan dalam kawasan tisu putih (ketumpatan payudara) pada mamogram. Kami ingin mengetahui sama ada pengurangan ketumpatan payudara selepas terapi endokrin boleh membantu untuk menentukan keberkesanan terapi endokrin.

Soalan ulasan

Kami mencari kajian yang diterbitkan sebelum ini. Kami menilai sama ada pengurangan ketumpatan payudara selepas menerima terapi endokrin dikaitkan dengan hasil yang lebih baik. Bagi wanita tanpa kanser payudara, ini memberi tumpuan kepada sama ada mereka yang mempunyai kurang ketumpatan payudara berkemungkinan kurang risiko mendapat kanser payudara. Bagi wanita dengan kanser payudara, ini termasuk sama ada mereka yang mengalami penurunan ketumpatan payudara yang lebih besar berkemungkinan kecil untuk mati akibat kanser payudara.

Ciri-ciri kajian

Kami melakukan carian pada 3 Ogos 2020. Kami memasukkan kajian melibatkan wanita dewasa yang menghidap kanser payudara jika kanser payudara wanita itu telah didiagnosis pada peringkat awal dan boleh dirawat dengan terapi endokrin (kanser payudara positif reseptor hormon). Kami memasukkan ubat yang sering digunakan (tamoxifen dan perencat aromatase). Kami menemui pelbagai jenis kajian. Kajian itu berbeza dari segi bagaimana ia dirancang dan ciri-ciri wanita yang dimasukkan dalam kajian, serta bagaimana perubahan ketumpatan payudara diukur.

Keputusan utama

Kebanyakan kajian melaporkan pengurangan risiko kanser payudara selepas terapi endokrin untuk wanita yang mengalami pengurangan ketumpatan payudara berbanding wanita yang tidak mengalami pengurangan. Terdapat bukti yang lebih kukuh untuk ubat tamoxifen.

• Dua kajian melaporkan tentang pengurangan ketumpatan payudara berikutan tamoxifen dan risiko kematian akibat kanser payudara. Penemuan itu berdasarkan 172 wanita yang meninggal dunia akibat kanser payudara. Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah rendah.

• Dua kajian mempertimbangkan jika kanser payudara kembali selepas rawatan dengan tamoxifen. Terdapat kebimbangan mengenai kaedah kajian dan kepastian penemuan dalam kedua-dua kajian ini. Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah sangat rendah.

• Satu kajian mempertimbangkan rawatan dengan perencat aromatase dan kemungkinan kanser payudara berulang. Terdapat ketidakpastian yang agak besar tentang saiz kesan kerana terdapat hanya 175 wanita dalam kajian itu. Kepastian bukti adalah sangat rendah kerana potensi risiko berat sebelah dalam kajian.

• Satu kajian mempertimbangkan jika kanser payudara kembali di tempatnya atau berjauhan dari tumor asal. Terdapat risiko berat sebelah dalam pelaporan dan ketidakpastian tentang saiz kesan. Kepastian bukti untuk kedua-dua hasil adalah sangat rendah.

• Dua kajian melihat peluang wanita dengan kanser payudara didiagnosis kemudian dengan kanser payudara yang baru, seperti pada payudara yang bertentangan. Terdapat risiko berat sebelah dalam pelaporan dan ketidakpastian tentang saiz kesan. Kepastian bukti ini adalah sangat rendah.

• Satu kajian merangkumi wanita yang tidak pernah menghidap kanser payudara dan yang menerima tamoxifen. Keputusan adalah berdasarkan 51 wanita yang menghidap kanser payudara. Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah rendah.

• Satu kajian mempertimbangkan sama ada kesan bermanfaat tamoxifen boleh dijelaskan oleh penurunan ketumpatan payudara. Terdapat beberapa bukti untuk menyokong ini, tetapi terdapat ketidakpastian tentang kekuatan kesannya. Hasilnya berdasarkan 51 wanita yang menghidap kanser payudara selepas menerima tamoxifen. Kepastian tentang bukti adalah rendah.

Secara keseluruhannya, kami menemui beberapa bukti bahawa perubahan ketumpatan payudara berikutan terapi tamoxifen adalah maklumat berguna untuk membantu menentukan keberkesanan ubat itu pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, terdapat banyak ketidakpastian tentang kekuatan kesan ini. Ini disebabkan oleh sedikit wanita dalam kajian, kajian yang agak sedikit untuk setiap hasil, dan batasan dalam kebanyakan kajian seperti bagaimana perubahan ketumpatan payudara diukur. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk membantu menilai isu-isu ini.

Kualiti bukti

Secara keseluruhannya, kami menilai kepastian bukti yang ada sebagai rendah atau sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information