Radix Sophora flavescentis untuk hepatitis B kronik

Soalan ulasan
Untuk menilai manfaat dan bahaya Radix Sophora flavescentis berbanding plasebo atau tiada intervensi pada orang yang menghidap hepatitis B kronik.

Latar belakang
Jangkitan virus hepatitis B (HBV) kronik adalah penyakit hati yang biasa berlaku yang dikaitkan dengan morbiditi dan kematian yang tinggi. Ia menyebabkan tekanan psikologi dan membebankan orang yang mempunyai hepatitis B kronik dan keluarga mereka. Radix Sophorae flavescentis telah digunakan dalam merawat hepatitis B kronik; adalah diyakini bahawa ia mengurangkan ketidakselesaan dan mencegah replikasi virus pada orang yang mempunyai hepatitis B kronik. Bagaimanapun, faedah dan bahayanya tetap tidak jelas.

Tarikh carian
Tarikh carian terakhir adalah pada Disember 2018.

Ciri-ciri ulasan
Kami telah menyertakan 35 percubaan klinikal rawak dengan 3556 peserta. Satu percubaan membandingkan Radix Sophorae flavescentis dengan plasebo; baki 34 percubaan lagi membandingkan kesan Radix Sophorae flavescentis sebagai tambahan kepada intervensi berbanding intervensi yang sama. Ujian yang dilibatkan menilai bentuk heterogen dan cara pemberian Radix Sophorae flavescentis (contohnya kapsul makan, tablet makan, infusi intravena, suntikan intramuskular, acupoint (suntikan akupunktur yang dipilih secara khusus) dengan tempoh rawatan 1 hingga 24 bulan. Dua ujian menilai kanak-kanak di bawah umur 14 tahun. Peserta dalam dua ujian lagi mempunyai sirosis dalam hepatitis B kronik (iaitu parut peringkat akhir pada hati).

Sumber pembiayaan kajian
Tujuh daripada 35 percubaan klinikal rawak menerima pembiayaan akademik daripada kerajaan atau hospital. 4 percubaan tidak menerima pembiayaan. Baki 24 percubaan lagi tidak menyatakan maklumat berkaitan pembiayaan. Pembiayaan yang tidak didedahkan mungkin mempengaruhi keputusan percubaan dan boleh menyebabkan reka bentuk percubaan yang kurang baik.

Keputusan utama
Hanya satu daripada 35 percubaan yang menilai tentang kematian; di mana tiada kematian yang berlaku. Sepuluh percubaan menilai kesan buruk yang serius; tiada kesan sampingan yang serius berlaku. Tidak ada kajian yang menilai kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, dan tiada kajian yang menilai orang yang meninggal akibat hepatitis B atau berisiko mati akibat hepatitis B. Kesan-kesan buruk yang dianggap 'tidak serius' adalah hasil dalam 19 kajian. Kita tidak boleh mengatakan jika Radix Sophorae flavescentis adalah lebih baik atau lebih teruk lagi mengenai kesan buruk yang dianggap 'tidak serius' berbanding plasebo atau tiadanya intervensi. Radix Sophorae flavescentis mengurangkan kadar orang dengan HBV-DNA yang boleh dikesan dan juga kadar orang dengan HBeAg yang boleh dikesan. Walau bagaimanapun, adalah perlu berhati-hati dalam memahami penemuan-penemuan yang bermanfaat ini, kerana ujian-ujian ini mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi, dan hasil ini belum terbukti relevan kepada pesakit. 432 percubaan yang dikenalpasti tersebut tidak boleh dimasukkan dalam ulasan kajian kerana kekurangan maklumat yang diperlukan untuk menjalankan ulasan ini. Oleh itu, lebih banyak maklumat daripada ujian klinikal rawak yang direka dengan baik diperlukan sebelum seseorang dapat menentukan manfaat atau bahaya Radix Sophorae flavescentis terhadap orang yang mempunyai hepatitis B kronik.

Kepastian tentang bukti
'Kepastian bukti' bermaksud "sejauh mana keyakinan seseorang yang menilai keputusan adalah betul dalam menyokong atau menolak dapatan". Kepastian tentang bukti mengenai penggunaan Radix Sophorae flavescentis untuk orang yang mempunyai HBV kronik dari segi kesannya yang bermanfaat atau berbahaya terhadap kematian, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, risiko mati akibat jangkitan HBV, dan kesan buruk yang serius tidak dapat ditentukan, kerana hanya sedikit ujian yang meneroka dapatan yang berkaitan dengan pesakit. Kepastian kami mengenai bukti bahawa Radix Sophorae flavescentis menurun atau meningkatkan kesan buruk yang dianggap tidak serius pada orang dengan hepatitis B kronik jika dibandingkan dengan tiada intervensi atau plasebo, adalah sangat rendah. Kepastian kami tentang bukti bahawa Radix Sophoae flavescentis menurunkan kadar orang dengan HBV-DNA yang boleh dikesan dan kadar orang dengan HBeAg yang boleh dikesan juga sangat rendah. Penilaian tentang kepastian bukti ini adalah disebabkan oleh reka bentuk dan laporan yang lemah mengenai ujian-ujian yang terlibat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save