Rawatan antibiotik bagi jangkitan jangkamasa panjang Burkholderia cepacia di kalangan pesakit sistik fibrosis

Soalan ulasan

Kami mengkaji semula bukti bagi rawatan antibiotik jangka panjang untuk mereka yang mempunyai sistik fibrosis dengan jangkitan Burkholderia cepacia komplex (kumpulan bakteria yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 spesies yang berbeza).

Latar belakang

Pengidap sistik fibrosis sering mengalami jangkitan paru-paru yang berulang dan akhirnya paru-paru mereka boleh dijangkiti dengan jangkitan bakteria yang kekal, seperti keluarga bakteria yang dipanggil Burkholderia cepacia komplex yang boleh menyebabkan pelbagai masalah kerana kebanyakkan antibiotik tidak berkesan terhadap mereka dan ini boleh menyebabkan kemerosotan fungsi paru-paru dengan lebih cepat. Kami mahu mengetahui sama ada penggunaan rawatan antibiotik jangka panjang bermanfaat atau tidak bagi mereka yang mengidapi sistik fibrosis dan jangkitan Burkholderia cepacia kompleks.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 12 April 2021.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan satu kajian yang melibatkan 100 orang yang berumur antara 6 hingga 57 tahun. Kajian ini membandingkan antibiotik secara sedutan dipanggil aztreonam dengan plasebo (bahan yang tidak mengandungi ubat). Peserta-peserta telah dipilih untuk rawatan dengan aztreonam atau plasebo secara rawak. Kajian berlangsung selama 52 minggu.

Keputusan-keputusan utama

Satu-satunya kajian yang disertakan dalam ulasan ini mendapati sedutan aztreonam tidak mempunyai kesan yang bermanfaat ke atas fungsi paru atau kadar jangkitan paru-paru bagi pengidap sistik fibrosis dan jangkitan Burkholderia cepacia kompleks. Tidak ada perbezaan diantara kumpulan kajian berhubung dengan purata masa untuk mendapat jangkitan paru-paru seterusnya atau jumlah peserta yang dimasukkan ke hospital disebabkan oleh jangkitan paru-paru. Secara keseluruhan kejadian kesan sampingan adalah sama diantara kumpulan kajian dan berhubung dengan hasil lain yang dinilai, tidak ada perbezaan diantara kumpulan rawatan bagi kadar kematian, kualiti hidup atau ketumpatan kahak. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada antibiotik sedut yang lain mungkin berguna.

Kualiti bukti kajian

Kualiti keseluruhan bukti dianggap sederhana merentasi semua hasil kajian, dimana ia bermaksud penyelidikan lanjut mungkin mempunyai kesan penting ke atas keputusan hasil kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information