Terapi pertuturan dan bahasa untuk batuk kronik

Latar belakang kepada soalan

Manusia batuk biasanya untuk melindungi dan membersihkan saluran pernafasan. Sebagai contoh, apabila kita mempunyai jangkitan paru-paru, kita batuk untuk mengeluarkan bakteria. Atau apabila debu masuk semasa bernafas, kita batuk untuk mengeluarkan habuk. Sesetengah orang mempunyai gejala batuk yang kronik, atau dalam tempoh masa yang panjang, disebabkan oleh penyakit seperti asma, penyakit pulmonari yang kronik (COPD), atau penyakit gastro-oesofageal refluks atau refluks. Walau bagaimanapun, sesetengah orang mempunyai gejala batuk kronik tanpa sebab yang jelas. Ini dikenali sebagai batuk kronik tanpa diketahui punca (idiopatik/refraktori) UCC. Batuk selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun sangat tidak menyenangkan, akan menyebabkan pengurunan kualiti hidup.

Garis panduan semasa mengesyorkan penggunaan gabapentin (ubat yang biasanya digunakan bagi mengawal sawan dan mengurangkan kesakitan saraf) untuk cuba menghentikan pesakit yang menghidap UCC daripada batuk. Walau bagaimanapun, ubat ini mempunyai kesan sampingan termasuk mengantuk.

Terapi pertuturan dan bahasa (SLT) telah dicadangkan sebagai opsyen bukan ubat untuk merawat UCC. Terapi pertuturan dan bahasa dapat mengelakkan risiko dan kesan sampingan ubat.

Terapi pertuturan dan bahasa bertujuan untuk mengajar pesakit mengawal batuk mereka. Pesakit diajar kaedah bagi membantu mereka menyekat keinginan untuk batuk. Pendidikan kepada pesakit dilakukan dengan tujuan memahamkan pesakit bagaimana teknik ini berfungsi dan diharapkan mereka dapat berterusan menggunakannya. Pesakit juga mendapat maklumat mengenai kebersihan vokal. Kebersihan vokal melibatkan teknik untuk mengurangkan pencetus kepada batuk. Sebagai contoh, kebersihan vokal mungkin melibatkan membantu seseorang bernafas melalui hidung dan bukannya mulut mereka serta mengelakkan meminum arak dan kafein, yang boleh memburukkan lagi gejala batuk. Mereka juga mungkin diberi kaunseling psiko-pendidikan bagi membantu mereka belajar cara untuk mengawal batuk.

Ulasan ini menilai bukti terkini mengenai keberkesanan SLT dalam merawat UCC.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui dua kajian yang relevan untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kedua-dua kajian adalah kajian terkawal rawak (sejenis kajian di mana peserta kajian dibahagikan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan dengan menggunakan kaedah rawak) di mana peserta kajian mempunyai diagnosis UCC. Peserta kajian menerima intervensi termasuk teknik SLT atau 'nasihat gaya hidup sihat' sebagai Kumpulan kawalan. Kami memilih untuk menggunakan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan dan kesan sampingan yang serius untuk menilai sama ada SLT adalah satu intervensi yang berguna.

Keputusan utama

Hanya satu kajian yang membandingkan SLT dengan penjagaan biasa melaporkan data tentang kualiti hidup (menggunakan soalan kajiselidik). Selepas empat minggu, secara purata terdapat peningkatan pada kualiti hidup peserta kajian yang menerima rawatan SLT, fisioterapi, dan intervensi terapi pertuturan dan bahasa (PSALTI), berbanding pesakit dalam kumpulan kawalan. Walau bagaimanapun, manfaat ini, berbanding dengan kumpulan kawalan, tidak kekal dan hilang selepas empat minggu. Ini bermakna walaupun rawatan dilihat berkesan dalam tempoh yang singkat, ia tidak boleh meningkatkan kualiti hidup untuk jangka masa panjang berbanding dengan penjagaan biasa.

Kami juga mencari maklumat tentang kesan sampingan atau kemudaratan rawatan. Kajian yang sama melaporkan bahawa tiada siapa yang mengalami kesan sampingan yang serius atau memudaratkan sepanjang kajian tersebut dijalankan.

Cara lain untuk mengukur kesan SLT juga dipertimbangkan, dan dalam setiap kes, data yang relevan hanya didapati daripada satu kajian. Penambahbaikan dalam pengiraan batuk yang objektif (menggunakan monitor batuk), simptom (menggunakan skor simptom), dan penambahbaikan klinikal telah ditunjukkan dalam SLT berbanding kawalan. Kajian yang ditinjau melaporkan tidak ada perbezaan untuk hasil sekunder yang lain seperti langkah-langkah subjektif batuk atau sensitiviti refleks batuk (diukur di makmal dengan menggunakan perengsa saluran udara).

Kualiti bukti

Bilangan kajian yang relevan dan berkualiti tinggi yang kecil dalam tinjauan ini bermakna kami tidak boleh memastikan manfaat keseluruhan SLT dalam pengurusan UCC. Peningkatan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan telah dikaitkan dengan intervensi PSALTI dalam tempoh yang singkat dalam satu kajian, tetapi penyelidikan lanjutan diperlukan untuk mereplikakan dapatan ini. Secara keseluruhan, lebih banyak kajian terkawal diperlukan untuk meneliti sepenuhnya potensi SLT bagi pengurusan UCC.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save