Kesan jangka panjang radioterapi untuk rawatan glioma ke atas fungsi otak

Latarbelakang
Gliomas adalah tumor otak yang boleh menjadi sangat agresif dan mengakibatkan kematian dalam tempoh tidak sampai setahun; bagaimanapun, pesakit yang mempunyai glioma yang kurang agresif (glioma gred rendah) boleh hidup selama beberapa tahun. Kebanyakan pesakit dirawat dengan pembedahan dan mungkin juga menerima radioterapi dengan atau tanpa kemoterapi. Bagaimanapun, radioterapi boleh merosakkan tisu otak yang sihat, dan kami tidak tahu dengan cukup kesan jangka panjang radioterapi ke atas fungsi otak, seperti ingatan, komunikasi, daya tumpuan dan kelajuan pemikiran (dipanggil kognisi-neuro). Perkembangan tumor juga boleh menyebabkan kemerosotan di dalam fungsi otak. Dalam kajian ini, kami melihat kepada kemungkinan kesan jangka panjang radioterapi ke atas otak pesakit dewasa yang menghidap glioma kurang agresif yang hidup selama sekurang-kurangnya dua tahun selepas menerima rawatan.

Kaedah dan keputusan
Kami telah mencari kajian penyelidikan yang relevan sehingga 14 November 2018. Kami hanya masukkan kajian yang mempunyai kumpulan kawalan (iaitu kajian yang melibatkan kumpulan pesakit yang telah atau tidak menerima radioterapi atau telah menerima pelbagai jenis atau dos radioterapi). Ulasan melibatkan sembilan kajian penyelidikan yang mengumpulkan maklumat tentang hasil kognitif-neuro berjangka panjang atau kualiti hidup, kebanyakannya dalam kalangan pesakit glioma bergred rendah. Sejumlah 2406 peserta terlibat dalam kajian ini. Kajian melihat kepada lima perbandingan yang berbeza termasuk radioterapi berbanding tanpa radioterapi, radioterapi berbanding kemoterapi, radioterapi dos tinggi berbanding rendah, jenis radioterapi yang berbeza, dan radioterapi berbanding kemoradioterapi. Sebahagian bukti mencadangkan radioterapi mungkin meningkatkan risiko kerosakan kognitif berbanding dengan tanpa radioterapi selepas pembedahan;bagaimanapun, kesimpulan ini dan bukti untuk perbandingan yang lain didapati tidak meyakinkan. Perkara ini sebahagiannya disebabkan oleh pesakit tidak disusuli, samada kerana mereka telah meninggal dunia atau penyakit mereka telah menjadi semakin teruk, hal ini menyebabkan bukti yang terhasil menjadi lemah.

Tiada kajian membandingkan kesan radioterapi ke atas kefungsian hormon yang berkaitan; kami merancang untuk membangunkan ulasan ekonomi yang ringkas untuk merumuskan maklumat samada intervensi menunjukkan penggunaan perkhidmatan kesihatan yang baik tetapi tidak menjumpai kajian yang relevan.

Kesimpulan
Risiko kemerosotan jangka panjang dalam fungsi otak yang berkaitan dengan radioterapi untuk rawatan glioma kurang agresif tidak dapat dipastikan. Penyelidikan lanjut mengenai pilihan rawatan glioma perlu menilai potensi kesan sampingan jangka panjang kognitif dan hormon, kos dan nilai untuk wang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia).Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save