Bahan pengapan untuk mencegah karies gigi susu

Soalan ulasan

Bolehkah dengan meletak bahan pengapan di permukaan kunyah gigi susu di bahagian belakang mulut mencegah terjadinya kerosakan gigi?

Latar belakang

Kerosakan gigi adalah salah satu penyakit yang paling lazim di zaman kanak-kanak yang boleh mempengaruhi kesejahteraan keseluruhan kanak-kanak. Gigi yang paling lazim dipengaruhi ialah gigi belakang yang mana permukaan kunyah tidak rata dan beralur (pit dan fisur) yang boleh memerangkap sisa makanan dan bakteria, menyebabkan pembentukan kaviti gigi (kerosakan). Tambahan pula, alur-alur ini sangat kecil sehingga bulu berus gigi tidak dapat masuk sepenuhnya menjadikan ia sukar untuk dibersihkan. Memengap alur-alur tersebut adalah salah satu cara untuk mengelak kerosakan pada gigi belakang. Bahan pengap bertindak sebagai halangan yang melindung tindakan makanan dan bakteria ke atas permukaan gigi.

Ciri-ciri kajian

Kami sertakan sembilan kajian melibatkan 1120 kanak-kanak (berumur 18 bulan hingga lapan tahun). Kajian-kajian tersebut mengguna pelbagai jenis bahan pengapan gigi untuk mencegah kerosakan gigi susu. Kami menilai kebanyakan kajian berisiko bias tinggi secara keseluruhan kerana profesional pergigian yang mengukur hasil dapat melihat sama ada bahan pengapan telah diletakkan, dan dapat membezakan bahan-bahan pengapan.

Keputusan utama

Tiga kajian membandingkan bahan pengapan dengan tanpa bahan pengapan, dan enam kajian membandingkan pelbagai bahan atau proses untuk memengap permukaan gigi. Oleh kerana terdapat perbezaan penting dalam reka bentuk kajian dari segi jenis bahan pengapan, umur kanak-kanak pada permulaan kajian dan tempoh susulan, kami tidak dapat mengumpulkan data. Hanya satu kajian menilai dan melaporkan kesan sampingan, iaitu refleks geg semasa meletakkan bahan pengapan.

Kualiti bukti

Kami temui bukti berkualiti rendah tentang keberkesanan bahan pengapan untuk mencegah kerosakan gigi di permukaan kunyah gigi susu belakang dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan tentang keberkesanan bahan pengapan berbanding tanpa pengapan ataupun pelbagai bahan pengapan untuk mencegah kerosakan gigi susu dalam kalangan kanak-kanak. Lebih banyak kajian yang dijalankan dengan baik dengan tempoh susulan yang lebih lama diperlukan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini menyertakan kajian-kajian sedia ada daripada carian literatur sehingga 11 Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Manipal University College Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information