Ubat penahan sakit seperti ibuprofen yang diberikan sebelum memotong kulit dalam pembedahan berbanding dengan ubat diberikan selepas memotong kulit pada orang dewasa yang menjalani semua jenis pembedahan

Kami bertujuan untuk menilai kesan pemberian satu dos ubat anti-radang nonsteroid (NSAID: misalnya, ibuprofen) sebelum membuat potongan pertama dalam pembedahan (NSAID pre-emptif) atau diberikan sebelum pemotongan pertama dan diteruskan selepas pembedahan (NSAID pencegahan) untuk mengurangkan kesakitan pada orang dewasa.

Soalan ulasan
Kami mengulaskan bukti tentang ubat penahan sakit NSIAD yang diberikan sebelum pembedahan berbanding dengan ubat penahan sakit yang sama tetapi hanya diberikan selepas pakar pembedah memotong kulit pada orang dewasa yang menjalani semua jenis pembedahan.

Latar belakang
Kebanyakan orang mengalami kesakitan selepas pembedahan yang memerlukan ubat penahan sakit opioid yang kuat (serupa dengan morfin). Ubat-ubatan ini dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan termasuk kekurangan pernafasan, denyut jantung yang perlahan, dan tekanan darah rendah, serta muntah, mengantuk, gatal-gatal dan sembelit. Mengurangkan jumlah opioid yang diperlukan selepas pembedahan dapat mengehadkan kesan-kesan sampingan tersebut dan meningkatkan pengalaman pesakit serta hasil. Jika dibandingkan dengan pemberian ubat penahan sakit selepas menjalankan pemotongan pertama, pemberian ubat penahan sebelum pemotongan pertama dapat mengurangkan sensitiviti kesakitan lalu mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Kami ingin mengetahui sama ada pemberian ubat penahan sakit NSAID sebelum pembedahan adalah lebih berkesan daripada memberi ubat dan dos yang sama, selepas pembedahan.

Ciri-ciri kajian
Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk percubaan rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta-peserta dibahagikan ke kumpulan rawatan
secara rawak.) Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2020. Pesakit dibahagikan secara rawak ke salah satu kumpulan daripada dua kumpulan. Salah satu kumpulan rawatan diberikan NSAID sebelum pemotongan kulit dibuat oleh pakar pembedah, manakala satu kumpulan lagi diberikan ubat yang sama selepas pemotongan kulit dibuat. Kami menemui 71 kajian dengan pesakit berusia 18 tahun atau lebih, yang menjalani banyak pembedahan yang berbeza. Kebanyakkan pesakit adalah cergas dan sihat yang menjalani prosedur di hospital di seluruh dunia.

Hasil-hasil utama kajian
Dalam 36 kajian (2032 pesakit), penggunaan NSAID pre-emptif mengakibatkan kekurangan yang kecil pada kesakitan yang dialami dalam enam jam pertama selepas pembedahan. TIdak ada kajian yang menyertakan kesan-kesan sampingan serius dari NSAID sebagai hasil kajian (pendarahan, serangan jantung atau kegagalan buah pinggang). Tidak ada perbezaan pada mual dan muntah selepas pembedahan. Dalam 28 kajian (1645 pesakit), tidak ada perbezaan kesakitan pada 24 hingga 48 jam selepas pembedahan. Dalam 16 kajian (854 pesakit) terdapat penurunan jumlah ubat penahan sakit yang kuat digunakan selepas pembedahan serta peningkatan masa sehingga pesakit memerlukan ubat penahan sakit yang kuat ini. Walaubagaimanapun, kami tidak menemui pengurangan kesan-kesan sampingan dari ubat penahan sakit yang kuat ini (gatal atau mengantuk). Tidak ada kajian yang melaporkan kepuasan pesakit, kesakitan jangka panjang selepas pembedahan atau masa sehingga usus pesakit dibuka.

Untuk NSAID pencegahan, dalam 18 kajian (1140 pesakit), terdapat tidak ada perbezaan kesakitan yang dialami dalam enam jam pertama selepas pembedahan. Satu kajian melaporkan pendarahan selepas pembedahan yang memerlukan pembedahan yang lain dan mendapati tidak ada perbezaan, walaupun tidak ada kejadian yang cukup untuk memastikan hasil ini. Tidak ada perbezaan pada kejadian mual dan muntah. Dalam 21 kajian (1441 pesakit), terdapat pengurangan kesakitan pada 24 hingga 48 jam selepas pembedahan dan dalam 16 kajian (1323 pesakit) penurunan jumlah ubat penahan sakit yang kuat yang digunakan selepas pembedahan. Tidak ada perbezaan pada waktu pesakit meminta ubat penahan sakit yang kuat. Tidak ada perbezaan gatal, mengantuk atau kepuasan pesakit. Tidak ada kajian yang melaporkan kesakitan jangka masa panjang. Tidak ada perbezaan pada waktu untuk buang air besar pertama.

Kepastian bukti
Walaupun kami menemui beberapa perbezaan dalam kesakitan serta penggunaan ubat penahan sakit, kepastian tentang bukti berkisar dari sangat rendah hingga sederhana. Selain itu, perbezaan yang didapati adalah tidak cukup besar untuk dianggap penting oleh pesakit. Ini disebabkan oleh kekurangan pada cara kajian dijalankan, jumlah pesakit direkrut yang kurang untuk beberapa hasil dan perbezaan pada hasil antara kajian, yang bermaksud kami tidak pasti perbezaan tersebut adalah nyata dan, oleh itu, kajian pada masa depan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information