Apakah manfaat dan risiko rawatan neoadjuvant (rawatan ubat sebelum pembedahan untuk membuang tumor) untuk melanoma, sejenis kanser kulit?

Apakah yang kami ingin mengetahui?

Melanoma kulit adalah jenis kanser kulit yang sangat agresif. Ia biasanya membawa maut jika dikesan pada peringkat lanjut. Rawatan awal mungkin membolehkan pembedahan pembuangan ketumbuhan dan meningkatkan peluang untuk kelangsungan hidup jangka panjang. Rawatan neoadjuvant merupakan rawatan ubat yang diberikan sebelum pembedahan untuk mengurangkan saiz ketumbuhan supaya lebih mudah dikeluarkan untuk mengurangkan komplikasi pembedahan dan mengurangkan risiko penyebaran penyakit. Jenis ubat baru, imunoterapi dan rawatan bersasar telah dibangunkan yang mungkin berkesan untuk digunakan secara neoadjuvant.

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan neoadjuvant untuk melanoma peringkat III atau IV dapat membantu penghidap hidup lebih lama, dan juga membandingkan kesan buruk (tidak diingini) rawatan neoadjuvant dengan rawatan rutin.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk kajian rawak terkawal yang membandingkan jenis rawatan tertentu untuk kanser kulit melanoma. Jenis rawatan yang disertakan ialah:

- rawatan bersasar - seperti dabrafenib dan trametinib;

- imunoterapi - seperti ipilimumab dan nivolumab;

- kemoterapi - seperti dacarbazine dan temozolomide;

- rawatan topikal - seperti imiquimod;

- radioterapi.

Kami mempertimbangkan kedua-dua rawatan ubat tunggal dan ubat gabungan. Kami telah menerangkan dan membandingkan keputusan daripada kajian-kajian ini dengan mengambil kira perbezaan antara kajian-kajian tersebut.

Apakah yang kami dapati?

Kami mengenal pasti lapan kajian rawak terkawal yang mamasukkan 402 orang dewasa. Majoriti pesakit mengalami melanoma peringkat III dan dirawat di hospital. Kebanyakan kajian menggunakan imunoterapi atau rawatan bersasar, dan membandingkannya dengan pembedahan, dengan atau tanpa rawatan adjuvant (rawatan yang diberikan selepas pembedahan untuk membuang tumor, untuk mengurangkan risiko tumor kembali). Tiada kajian yang mengambil kira kesan rawatan terhadap kualiti hidup, dan kebanyakan kajian tidak membandingkan kadar respons ketumbuhan selepas rawatan yang berbeza.

Kami tidak pasti sama ada rawatan neoadjuvant membantu pesakit untuk hidup lebih lama dibandingkan dengan tiada rawatan neoadjuvant. Ini mungkin menyebabkan lebih banyak kesan sampingan, dan kami tidak pasti sama ada ia memanjangkan tempoh sehingga ketumbuhan kembali.

Kami tidak pasti sama ada rawatan sasaran neoadjuvan dengan dabrafenib dan trametinib membantu pesakit untuk hidup lebih lama berbanding dengan tiada rawatan neoadjuvan, atau sama ada ia dapat memanjangkan tempoh sehingga tumor kembali. Kajian itu tidak membandingkan hasil keselamatan dengan setiap rawatan.

Kami tidak pasti sama ada imunoterapi neoadjuvan dengan talimogene laherparepvec (T-VEC) membantu pesakit untuk hidup lebih lama berbanding dengan tiada rawatan neoadjuvan. Ia boleh menyebabkan lebih banyak kesan sampingan. Kami tidak pasti jika ia memanjangkan tempoh sehingga ketumbuhan kembali.

Tiada data dilaporkan tentang sama ada imunoterapi neoadjuvant dengan gabungan ipilimumab dan nivolumab membantu pesakit untuk hidup lebih lama berbanding dengan adjuvant (rawatan diberikan hanya selepas pembedahan) dengan gabungan ipilimumab dan nivolumab. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kesan sampingan. Tiada data dilaporkan sama ada imunoterapi neoadjuvant dengan gabungan ipilimumab dan nivolumab memanjangkan tempoh sehingga ketumbuhan kembali.

Gabungan neoadjuvan ipilimumab dan nivolumab kemungkinan menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh hidup pesakit berbanding dengan neoadjuvan nivolumab. Ia mungkin meningkatkan kadar kesan sampingan, tetapi keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Perlu dinyatakan bahawa kajian ini dihentikan lebih awal kerana pesakit dalam kumpulan neoadjuvan nivolumab mungkin tidak dapat menerima pembedahan kerana perkembangan penyakit dan juga disebabkan oleh kadar kejadian kesan buruk yang berkaitan dengan rawatan yang tinggi dalam kumpulan rawatan gabungan. Rawatan gabungan boleh membawa kepada kadar tindak balas tumor yang lebih tinggi, tetapi keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Tempoh masa sehingga ketumbuhan kembali mungkin tidak berbeza.

Tiada data yang tersedia tentang sama ada imunoterapi neoadjuvan dengan gabungan ipilimumab dan nivolumab membantu pesakit untuk hidup lebih lama berbanding dengan rawatan berurutan neoadjuvan dengan ipilimumab dan nivolumab. Ia berkemungkinan mengakibatkan kesan buruk yang lebih rendah berbanding rawatan berurutan, dan ia boleh mengakibatkan kadar tindak balas tumor yang lebih tinggi. Kumpulan rawatan berurutan dalam kajian tersebut berhenti merekrut pesakit disebabkan oleh kejadian yang tinggi bagi kesan sampingan yang serious. Data mengenai masa yang diambil untuk ketumbahan kembali tidak dikumpulkan.

Tiada data dilaporkan sama ada interferon dos tinggi neoadjuvant serta kemoterapi, berbandingkan dengan kemoterapi neoadjuvant, dapat membantu pesakit hidup lebih lama, memanjangkan tempoh masa sebelum ketumbuhan berulang, mengurangkan kejadian kesan samping atau memberi kesan terhadap kualiti hidup. Ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada kadar tindak balas tumor.

Apakah maksudnya?

Kami tidak pasti sama ada rawatan neoadjuvant untuk melanoma peringkat III atau IV akan membantu pesakit untuk hidup lebih lama, atau memanjangkan tempoh masa sebelum penyakit itu berulang. Kami juga tidak pasti sama ada manfaat rawatan neoadjuvant melebihi risiko kejadian kesan sampingan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information