Kanabis dan minyak kanabis untuk rawatan kolitis berulser

Apakah itu kolitis berulser?

Kolitis berulser merupakan penyakit kronik, berjangka masa panjang yang menyebabkan keradangan kolon dan rektum. Simptom mungkin termasuk cirit birit, pendarahan rektum, pengeluaran lendir, dan sakit abdomen. Ia dicirikan dengan keradangan akut semasa pesakit mengalami simptom dan keredaan semasa simptom berhenti.

Apakah kanabis dan kanabinoid?

Kanabis merupakan dadah rekreasi digunakan secara meluas yang mempunyai beberapa kesan ke atas badan melalui sistem endokanabinoid. Kanabis mengandungi beberapa bahan sampingan yang dikenali sebagai kanabinoid. Kanabis dan minyak kanabis mengandungi kanabinoid spesifik yang boleh menyebabkan perubahan kognitif seperti perasaan euforia dan perubahan persepsi sensori. Bagaimanapun, sesetengah kanabinoid, seperti kanabidiol, tidak mempunyai kesan psikoaktif. Kanabis dan sesetengah kanabinoid telah dapat mengurangkan keradangan dalam haiwan dan model makmal yang mungkin membantu pesakit kolitis berulser. Contohnya, kanabidiol merupakan salah satu kanabinoid yang telah menunjukkan aktiviti anti-keradangan dalam tikus.

Apakah yang dikaji penyelidik?

Para penyelidik menilai samada kanabis atau minyak kanabis (kanabidiol) lebih baik daripada plasebo (contoh, dadah tiruan) bagi merawat orang dewasa yang mempunyai kolitis berulser aktif atau kolitis berulser yang sedang reda. Para penyelidik telah mencari literatur perubatan secara meluas sehingga 2 Januari 2018.

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?

Dua kajian melibatkan 92 peserta dewasa yang mempunyai kolitis berulser telah dimasukkan. Kedua-dua kajian telah menilai terapi kanabis dalam peserta-peserta yang mempunyai kolitis berulser aktif. Tidak ada kajian yang menilai terapi kanabis dalam peserta-peserta yang mempunyai kolitis berulser yang sedang reda dikenalpasti. Satu kajian (60 peserta) membandingkan 10 minggu rawatan dengan kapsul mengandungi minyak kanabis dengan sehingga 4.7% D9-tetrahidrokanabinol (THC) terhadap plasebo dalam peserta-peserta yang mempunyai kolitis berulser aktif yang rendah hingga sederhana. Dos permulaan kanabidiol ialah 50 mg dua kali sehari yang ditingkatkan, jika boleh ditahani, kepada sasaran sebanyak 250 mg dua kali sehari. Kajian yang lain (32 peserta) membandingkan 8 minggu rawatan dengan dua rokok kanabis sehari mengandungi 0.5 g kanabis, bersamaan dengan 11.5 mg THC terhadap rokok plasebo dalam peserta-peserta yang mempunyai kolitis berulser yang tidak respon kepada rawatan perubatan konvensional.

Kajian perbandingan kapsul minyak kanabis kepada plasebo mendapati tiada perbezaan dalam kadar keredaan ketika 10 minggu. Dua puluh empat (7/29) peratus peserta kanabidiol memperoleh keredaan klinikal berbanding 26% (8/31) peserta plasebo. Kajian juga menunjukkan skor kualiti kehidupan laporan sendiri yang lebih tinggi dalam peserta minyak kanabis berbanding peserta plasebo. Lebih banyak kesan-kesan sampingan telah dilihat dalam peserta-peserta minyak kanabis berbanding peserta plasebo. Kesan-kesan sampingan ini dianggap ringan atau sederhana teruk. Kesan-kesan sampingan yang lazim dilaporkan termasuk pening, gangguan perhatian, sakit kepala, loya dan lemah. Tiada pesakit dalam kumpulan minyak kanabis mengalami apa-apa kesan-kesan sampingan yang serius. Sepuluh peratus (3/31) kumpulan plasebo mengalami kesan sampingan yang serius. Kesan-kesan sampingan serius dalam kumpulan plasebo termasuk kolitis berulser yang bertambah buruk dan satu komplikasi kehamilan.

Kajian kedua yang membandingkan dua rokok kanabis (23 mg THC/sehari) terhadap rokok plasebo menunjukkan skor indeks aktiviti penyakit yang lebih rendah dalam kumpulan kanabis berbanding kumpulan plasebo. Tahap C-reaktif protin dan calprotectin najis (keduanya ukuran keradangan dalam tubuh) adalah serupa dalam kedua-dua kumpulan. Tiada kesan sampingan serius dilaporkan. Kajian tidak melaporkan kadar keredaan.

Kesimpulan

Kesan-kesan kanabis dan minyak kanabis ke atas kolitis berulser tidak dapat dipastikan, dan yang demikian tidak ada kesimpulan kukuh dapat dibuat mengenai keberkesanan dan keselamatan kanabis atau minyak kanabis dalam pesakit dewasa kolitis berulser yang aktif. Tiada bukti untuk penggunaan kanabis atau minyak kanabis bagi mengekalkan keredaan dalam kolitis berulser. Kajian-kajian selanjutnya dengan bilangan peserta yang lebih besar diperlukan untuk menilai kesan-kesan kanabis dalam pesakit kolitis berulser yang aktif dan yang tidak aktif. Dos-dos kanabis dan cara pengambilan yang berbeza perlu dikaji. Akhir sekali, susulan diperlukan untuk menilai hasil keselamatan jangka panjang penggunaan kanabis yang kerap.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information