Keberkesanan dan keselamatan dua jenis alat yang digunakan dalam LASIK (sejenis pembedahan refraktif) untuk rabun jauh

Apakah tujuan ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai sama ada dua jenis alat untuk pembedahan pembetulan penglihatan (‘laser-assisted in-situ keratomileusis’ [LASIK]) berkesan dan selamat dikalangan mereka yang mempunyai masalah rabun jauh. Satu alat menggunakan bilah pisau yang berketepatan tinggi (‘microkeratome’ mekanikal) dan satu alat lagi menggunakan gelombang inframerah (laser ‘femtosecond’).

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Rabun jauh merupakan masalah penglihatan di mana objek yang dekat dapat dilihat dengan jelas tetapi objek yang jauh kelihatan kabur. Setakat 2010, rabun jauh mejejaskan sekitar dua bilion orang di seluruh dunia. Rabun jauh boleh dibetulkan dengan menggunakan kaca mata, kanta lekap, atau pembedahan. Pembedahan untuk rabun jauh mengubah bentuk struktur lutsinar di bahagian depan mata (kornea). LASIK ialah prosedur pembedahan yang paling lazim digunakan untuk membetulkan rabun jauh.

Prosedur LASIK mereka ‘flap’ dalam kornea untuk membentuknya semula. ‘Flap’ ini boleh dibuat dengan ‘microkeratome’ mekanikal atau laser ‘femtosecond’. ‘Microkeratome’ mekanikal menggunakan bilah pisau untuk membuat ‘flap’ dan laser ‘femtosecond’ menggunakan laser untuk membuat ‘flap’. ‘Flap’ yang dibuat oleh dua kaedah itu berbeza dari segi ketebalan dan strukturnya, juga kesan-kesan sampingan dari setiap kaedah juga berbeza. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini. Kami menemui 11 kajian yang melibatkan 943 peserta (1691 mata).

Apakah keputusan utama?
Tiada bukti yang menunjukkan terdapat perbezaan bagi hasil penglihatan di antara penggunaan ‘microkeratome’ mekanikal atau laser ‘femtosecond’. Kepastian bukti adalah rendah. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat perbezaan dari segi kesan sampingan di antara dua kaedah ini. Kumpulan yang dibedah menggunakan ‘microkeratome’ mekanikal mempunyai lebih banyak kes mata menjadi kering manakala kumpulan yang dibedah menggunakan laser ‘femtosecond ‘mempunyai lebih banyak kes pembengkakan kornea. Keseluruhannya, disebabkan kepastian bukti yang rendah, adalah sukar untuk membuat kesimpulan umum mengenai keberkesanan dan keselamatan kedua-dua alat ini.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Penulis-penulis mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 22 Februari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information