Pembaikan hibrid berbanding pembaikan terbuka konvensional untuk kelaran lengkungan aorta

Latar belakang

Kelaran aorta adalah pemisahan atau koyakan intima dari media. Koyakan ini memungkinkan darah mengalir bukan hanya melalui saluran aliran aorta yang asal (dikenali sebagai lumen sejati), tetapi juga melalui saluran kedua antara intima dan media (dikenali sebagai lumen palsu). Kelaran kemudian dapat berkembang di sepanjang arteri, sekunder dengan darah yang mengalir ke dalam ruang tersebut. Kelaran aorta adalah keadaan yang mengancam nyawa yang boleh membawa maut dengan cepat. Kelaran aorta yang mempengaruhi aorta menaik, lengkungan aorta dan aorta menurun adalah satu cabaran bagi doktor. Terdapat perdebatan mengenai pendekatan pembedahan terbaik untuk kelaran lengkungan aorta. Orang dengan kelaran aorta menaik mempunyai kadar kelangsungan hidup yang teruk. Kini, pembaikan pembedahan terbuka dianggap sebagai rawatan piawai untuk kelaran lengkungan aorta.

Ciri-ciri dan keputusan utama kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk ujian klinikal yang membandingkan penggunaan teknik hibrid berbanding teknik pembedahan terbuka untuk orang yang menderita dari kelaran arteri untuk lengkungan aorta (carian terakhir Februari 2021). Kami mengenal pasti satu kajian yang sedang dijalankan dan dua kajian yang belum diterbitkan, yang memenuhi kriteria kemasukan untuk ulasan ini. Namun, kerana kurangnya data kajian yang diterbitkan, kami tidak dapat membandingkan hasil pembaikan hibrid dengan pembaikan terbuka konvensional untuk kelaran lengkungan aorta.

Kepastian bukti

Oleh kerana tidak ada data bagi kajian yang dikenal pasti layak dimasukkan dalam ulasan ini, adalah tidak mungkin untuk menilai kepastian bukti.

Kesimpulan

Tidak ada data untuk pesakit dengan keadaan seperti ini. Sebabnya mungkin termasuk sifatnya yang akut, dan keperluan untuk intervensi dengan cepat dalam persekitaran pembedahan; pesakit dengan kelaran lengkungan aorta sering mengalami banyak keadaan lain, yang menghalang mereka dari menjalani pembedahan tertentu; dan seringkali pusat dan kepakaran pembedahan mungkin kurang dalam bidang ini, yang membawa kepada budaya menggunakan kaedah konvensional dan bukan kaedah-kaedah kontemporari.

Kajian masa depan perlu mempunyai saiz sampel dan susulan yang mencukupi, dan menilai hasil klinikal yang relevan, untuk menentukan rawatan terbaik bagi orang dengan kelaran lengkungan aorta. Harus diingat bahawa ini mungkin tidak dapat dilaksanakan kerana alasan yang disebutkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information