Vaksin MVA85A sebagai tambahan kepada BCG untuk pencegahan tuberkulosis

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan kajian Cochrane ini adalah untuk menilai keberkesanan dan keselamatan menggunakan MVA85A sebagai tambahan kepada BCG berbanding menggunakan BCG sahaja untuk pencegahan tuberkulosis.

Mesej utama

MVA85A sebagai tambahan kepada BCG menunjukkan tiada faedah tambahan kepada BCG dalam pencegahan dari mendapat TB.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Tuberculosis adalah penyakit bawaan udara yang boleh menjangkiti paru-paru dan organ-organ lain di dalam badan. TB boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat aktif di mana seseorang menunjukkan tanda-tanda dan gejala TB atau positif ujian pengesahan untuk tuberkulosis ataupun TB laten bila seseorang telah dijangkiti bakteria TB melalui pernafasan tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda dan gejala penyakit. Pada masa ini, hanya terdapat satu vaksin yang dilesenkan dalam pencegahan penyakit ini, iaitu BCG vaksin. Walau bagaimanapun, keupayaan vaksin BCG untuk mencegah TB berbeza dalam situasi dan kumpulan pesakit yang berbeza. Keadaan ini mengakibatkan tuberkulosis masih menjadi masalah di seluruh dunia walaupun kanak-kanak telah diimunisasi. MVA85A adalah vaksin yang dikaji untuk mencegah tuberkulosis dengan harapan apabila ianya digunakan sebagai tambahan kepada BCG ia akan meningkatkan pencegahan dari mendapat TB.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Selepas meneliti penyelidikan yang diterbitkan sehingga 10 Mei 2018, kami telah merangkumkan enam hasil kajian daripada empat percubaan rawak terkawal (ujian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), yang mendaftarkan 3838 kanak-kanak dan orang dewasa. Berdasarkan kajian ini, kebanyakannya adalah kanak-kanak dan orang dewasa yang tinggal di Afrika, MVA85A yang ditambahkan ke BCG mungkin tidak mempunyai kesan berbanding BCG sahaja terhadap risiko mendapat tuberkulosis aktif yang ditakrifkan sebagai tuberkulosis mikrobiologi yang sah (bukti kepastian sederhana) atau risiko memulakan rawatan batuk kering (keterangan sederhana-kepastian). MVA85A tidak mempunyai kesan terhadap risiko mendapat laten tuberkulosis (bukti kepastian sederhana). MVA85A tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan yang serius yang mengancam nyawa (bukti yang sangat kukuh). Terdapat lebih banyak tindak balas kulit setempat pada orang yang divaksinasi dengan MVA85A, namun, tidak ada peningkatan dalam kesan sampingan secara keseluruhan pada orang yang diberi MVA85A.

Setakat manakah ulasan ini dikemaskini?

Penulis kajian telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Mei 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save