Menghentikan suapan untuk pencegahan necrotizing enterocolitis yang berkaitan dengan transfusi dalam kalangan bayi pramatang

Soalan ulasan

Dalam kalangan bayi pramatang, adakah menghentikan suapan pada masa transfusi sel darah merah menyebabkan penurunan risiko mengalami necrotizing enterocolitis (NEC) atau kematian?

Latar belakang

NEC adalah penyakit keradangan usus yang serius yang dikaitkan dengan kadar morbiditi dan mortaliti yang tinggi dalam kalangan bayi pramatang. Adalah diketahui bahawa amalan penyuapan tertentu memberi impak kepada kemungkinan bayi pramatang mengalami NEC, dan bukti menunjukkan bahawa pemindahan sel darah merah, yang sering diperlukan semasa kemasukan ke rawatan intensif bayi pramatang, mungkin mempunyai peranan dalam kejadian penyakit ini. Kesan menyuapkan bayi semasa transfusi sel darah merah dan kejadian NEC adalah tidak jelas pada masa kini, dan terdapat variasi yang signifikan dalam amalan ini.

Ciri-ciri kajian

Melalui carian pangkalan data perubatan sehingga November 2018, penulis ulasan menemui tujuh kajian yang menilai kesan menghentikan suapan semasa pemindahan darah. Dari tujuh kajian ini, satu kajian adalah kajian pemerhatian yang tidak rawak, empat kajian sedang dijalankan, dan satu kajian telah ditamatkan tanpa hasil yang boleh diperolehi. Hanya satu kajian yang membabitkan 22 bayi pramatang yang layak untuk dimasukkan dalam ulasan.

Keputusan-keputusan utama

Ujian rawak terkawal telah memberikan bukti yang terhad mengenai kesan amalan suapan semasa pemindahan darah dan kejadian NEC. Hanya satu ujian kecil yang dimasukkan ke dalam analisis, dan ujian ini tidak melaporkan kes-kes NEC yang berkaitan dengan transfusi dalam kumpulan suapan enteral atau tiada suapan.

Kualiti bukti

Data tidak mencukupi untuk membolehkan kesimpulan yang bermakna berdasarkan kualiti bukti yang sangat rendah mengikut penilaian GRADE. Ujian rawak terkawal yang besar adalah diperlukan untuk menjawab soalan ulasan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information