Adalimumab untuk rawatan penyakit Crohn aktif

Apakah penyakit Crohn?

Penyakit Crohn adalah penyakit usus di mana dinding saluran pencernaan menjadi radang. Mana-mana bahagian saluran pencernaan boleh dijangkiti, daripada mulut ke dubur. Gejala-gejala umum termasuklah sakit perut, cirit-birit berdarah dan kehilangan berat badan. Apabila pesakit penyakit Crohn mengalami gejala, penyakit ini dianggap 'aktif'. Apabila gejala-gejala berhenti, penyakit tersebut dianggap dalam ‘remisi’.

Apakah adalimumab?

Adalimumab adalah ubat biologi yang membantu mengurangkan keradangan dan melegakan kesakitan pada pesakit yang mengalami keadaan keradangan seperti penyakit Crohn. Adalimumab berfungsi dengan mengikat faktor nekrosis tumor-alpha dan menyekat kesan keradangan, menyebabkan pengurangan kesakitan dalam keradangan pada pesakit dengan penyakit Crohn. Bagi penyakit Crohn yang aktif, adalimumab biasanya disuntik di bawah kulit pada dos awal sebanyak 160 mg diikuti dengan dos 80 mg dua minggu kemudian.

Apakah yang dikaji oleh para penyelidik

Para penyelidik mengkaji sama ada adalimumab dapat membantu pesakit dengan penyakit Crohn tahap sederhana hingga sangat aktif kepada tahap remisi. Mereka juga melihat sama ada adalimumab dapat membantu dengan gejala-gejala penyakit Crohn dan sama ada ia berkaitan dengan sebarang bahaya (iaitu kesan sampingan). Kami meninjau kajian perubatan sehingga 16 April 2019.

Apakah yang telah ditemui oleh para penyelidik?

Penyelidik menemui tiga kajian dengan jumlah peserta seramai 714 orang dewasa (> 18 tahun). Semua peserta ini mempunyai penyakit Crohn pada tahap sederhana hingga sangat aktif. Sejumlah 451 peserta dirawat dengan adalimumab dan 268 peserta dirawat dengan plasebo (ubat palsu). Lebih ramai peserta yang diberi rawatan dengan adalimumab mencapai tahap remisi atau penambahbaikan gejala mereka berbanding pesakit yang dirawat dengan plasebo. Kadar kesan sampingan (adalimumab: 62%, placebo: 72%), kesan sampingan serius (adalimumab: 2%, placebo: 5%) dan menarik diri daripada kajian kerana kesan sampingan (adalimumab: 1%, plasebo: 3%) lebih rendah dalam kalangan peserta adalimumab berbanding peserta plasebo. Kesan sampingan yang biasa dilaporkan termasuklah reaksi di tempat suntikan, sakit perut, kelesuan, penyakit Crohn yang semakin teruk dan loya.

Kesimpulan

Bukti kepastian yang tinggi menunjukkan bahawa merawat peserta dengan adalimumab adalah lebih baik daripada merawat mereka dengan plasebo untuk mendorong remisi dan memperbaiki gejala pada pesakit dengan penyakit Crohn tahap sederhana hingga yang sangat aktif. Kesan sampingan adalah lebih rendah dalam kalangan peserta adalimumab berbanding plasebo. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti mengenai kesan adalimumab terhadap kesan sampingan kerana jumlah kejadian yang berlaku adalah rendah, maka, tidak ada kesimpulan yang pasti dapat dihasilkan tentang bahaya (kesan sampingan) adalimumab terhadap penyakit Crohn. Kajian lebih lanjut adalah diperlukan untuk melihat manfaat dan bahaya jangka panjang tentang penggunaan adalimumab terhadap pesakit dengan penyakit Crohn.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save