Adalimumab untuk remisi dalam penyakit Crohn

Apakah penyakit Crohn?

Penyakit Crohn (CD) adalah gangguan keradangan yang boleh mempengaruhi seluruh segmen saluran gastrousus dari mulut ke dubur. Peserta mengalami pelbagai gejala yang berkaitan dengan penyakit mereka, termasuk sakit perut, cirit-birit, penurunan berat badan, dan demam. Peserta biasanya mempunyai tempoh di mana penyakit mereka lebih aktif (dengan kata lain, mereka mengalami gejala), bergantian dengan tempoh di mana penyakit mereka tidak aktif (tidak ada gejala CD). Apabila CD tidak aktif, ia dikatakan dalam keadaan pendam (remisi). Dengan rawatan, ubat dapat mengawal keradangan di saluran gastrousus, untuk kawalan aktiviti penyakit dalam jangka panjang.

Apakah Adalimumab?

Adalimumab adalah ubat biologi yang menyekat perkembangan keradangan pada saluran gastrousus. Ia tergolong dalam kelas ubat yang dikenali sebagai antagonis faktor nekrosis tumor-alpha (TNF-α). Ubat ini digunakan pada orang yang ada CD, untuk mengurangi jumlah keradangan pada saluran gastrousus atau untuk mencegah keradangan berkembang.

Apakah tujuan kajian ini?

Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan sama ada ubat adalimumab berkesan untuk mengekalkan remisi pada orang dengan CD yang tidak aktif, dan sama ada ia berkaitan dengan bahaya atau kesan sampingan.

Bagaimana kajian ini dijalankan?

Kami melakukan ulasan sistematik terhadap sastera kini, untuk menentukan sama ada terapi adalimumab berkesan dalam mengekalkan remisi dalam CD. Kami menjalankan carian elektronik dari beberapa pangkalan data pada 15 April 2019 dan memilih kajian yang memenuhi kriteria kemasukan kami untuk penilaian lebih lanjut. Kami melakukan analisis statistik untuk menentukan sama ada adalimumab memberikan manfaat keseluruhan untuk mengekalkan remisi dalam CD.

Apakah keputusannya?

Kami merangkumkan enam kajian (1158 peserta). Semua peserta mempunyai CD sederhana hingga teruk yang berada dalam keadaan remisi klinikal. Empat kajian (1012 peserta) membandingkan adalimumab dengan plasebo (ubat palsu). Dua kajian (70 peserta) membandingkan adalimumab dengan ubat aktif (azathioprine atau mesalamine dan 6-mercaptopurine) pada peserta yang menjalani pembedahan CD sebelum pendaftaran kajian.

Peserta yang menerima adalimumab lebih cenderung mengekalkan remisi klinikal (tanpa gejala CD) dan remisi endoskopi (tidak ada keradangan pada saluran gastrousus mereka) daripada mereka yang menerima plasebo (ubat palsu). Ini juga berlaku bagi para peserta yang sebelumnya telah dirawat dengan ubat TNF-α yang lain (misalnya, infliximab), Kepastian keseluruhan bukti untuk hasil ini berkisar antara sederhana hingga tinggi. Kami tidak melihat peningkatan kadar kesan sampingan pada peserta yang menerima adalimumab berbanding mereka yang menerima plasebo. Kesan sampingan yang paling biasa termasuklah sakit kepala, keletihan dan jangkitan, kedua-dua jangkitan saluran kencing dan jangkitan saluran pernafasan atas.

Dua kajian kecil melihat sekumpulan pesakit yang baru-baru ini memerlukan kawasan sempit usus mereka untuk dikeluarkan melalui pembedahan. Peserta ini diberi adalimumab atau azathioprine (ubat imunosupresif), mesalamine (ubat anti-radang), atau 6-mercaptopurine (ubat imunosupresif) dalam 45 hari pembedahan, untuk melihat sama ada ubat-ubatan ini membantu memanjangkan remisi setelah pembedahan. Secara keseluruhan, adalimumab nampaknya cenderung mengekalkan remisi daripada azathioprine, mesalamine atau 6-mercaptopurine. Walau bagaimanapun, ini adalah kajian kecil dengan bukti kepastian yang sangat rendah. Kedua-dua kajian ini tidak melaporkan kesan sampingan.

Apakah kesimpulan dari kajian ini?

Adalimumab adalah terapi yang berkesan untuk mengekalkan remisi klinikal pada orang dengan CD yang tidak aktif. Adalimumab juga berkesan pada mereka yang sebelumnya telah dirawat dengan ubat TNF-α yang lain. Kesan adalimumab dalam keadaan selepas pembedahan tidak dapat dipastikan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan pada pesakit yang mengikuti pembedahan usus untuk CD untuk menentukan rancangan rawatan dengan lebih baik selepas pembedahan mereka. Penyelidikan masa depan harus terus menerokai faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan biologi awal dan kemudian bagi peserta dengan CD sederhana hingga teruk. Kajian yang membandingkan adalimumab dengan ubat aktif lain diperlukan, untuk membantu menentukan terapi remisi terbaik untuk CD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save