Jahitan pada serviks (cerclage) berkombinasi dengan rawatan lain untuk menghalang kelahiran pramatang dalam kehamilan tunggal

Kami telah menilai bukti kajian rawak terkawal mengenai kesan jahitan serviks bersama dengan rawatan lain dalam memanjangkan tempoh kehamilan dalam wanita yang mengandung bayi tunggal dan berisiko tinggi untuk keguguran. Rawatan tambahan digunakan dalam jangka masa yang sama ketika jahitan serviks dilakukan secara pembedahan.

Apakah isunya?

Serviks adalah leher tisu berbentuk silinder yang menghubungkan faraj dengan rahim. Serviks sepatutnya tertutup rapat semasa kehamilan, namun ada wanita hamil mempunyai kelemahan serviks yang menyebabkan serviks terbuka tanpa rasa sakit. Ini boleh menyebabkan keguguran lewat atau kelahiran pramatang sebelum 37 minggu kehamilan. Jahitan serviks adalah prosedur pembedahan yang dilakukan pada trimester kedua untuk menjahit leher serviks bagi menolong wanita untuk hamil sehingga sekitar 37 minggu. Rawatan lain yang boleh digabungkan dengan jahitan serviks termasuk antibiotik, sisipan sokongan vagina (pessari), penempatan jahitan serviks kedua, relaksan rahim (tokolitik), progesteron (ubat hormon), asid lemak omega-3 dan rehat di katil.

Kenapa ini penting?

Kelemahan serviks didiagnosis melalui sejarah keguguran atau kelahiran pramatang pada trimester kedua, pemeriksaan ultrasound atau pemeriksaan fizikal. Pencegahan kelahiran pramatang adalah keutamaan kesihatan kerana ia adalah penyebab utama kepada penyakit-penyakit dan kematian bayi di seluruh dunia. Jahitan serviks bersama dengan rawatan lain dapat membantu menghalang kelahiran pramatang dalam wanita yang mengandung bayi tunggal kerana satu jahitan mungkin tidak mencukupi untuk wanita hamil yang pernah melalui kelahiran pramatang dan mempunyai serviks yang pendek atau lemah.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami ingin mengetahui sama ada jahitan serviks, selain salah satu daripada pelbagai rawatan (pemberian antibiotik, pessari faraj, penahan jahitan serviks penguat atau kedua, relaxan rahim atau progesteron) dapat memanjangkan kehamilan bagi wanita mengandung bayi tunggal yang berisiko tinggi kehilangan kehamilan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bahan bukti perubatan dari kajian rawak terkawal hingga Jun 26 2019. Kami mengenal pasti tiga kajian yang melibatkan sejumlah 73 wanita. Hanya satu kajian dengan 50 pasangan ibu-bayi mempunyai keputusan yang dapat dirangkumi dalam ulasan ini. Kajian ini membandingkan jahitan serviks berkombinasi dengan indomethacin (tokolitik) dan antibiotik cefazolin atau clindamycin dengan jahitan serviks sahaja. Semua wanita mengetahui rawatan yang mereka terima.

Kami tidak jelas mengenai kesan intervensi kerana kepastian bukti yang sangat rendah untuk keputusan utama dalam ulasan ini: komplikasi serius; kehilangan bayi (data untuk keguguran dan kelahiran mati sahaja - data tidak melaporkan bilangan bayi yang meninggal dalam masa 28 hari kelahiran), atau kelahiran pramatang sebelum 34 minggu kehamilan. Tiada kelahiran mati (kematian dalam rahim pada 24 minggu atau lebih).

Data kematian bayi baru lahir pada masa keluar dari hospital, atau jumlah bayi yang pulang ke rumah secara sihat tidak ada.

Apakah maksudnya?

Kami tidak menjumpai bukti yang mencukupi untuk menilai kesan menggabungkan tokolitik (indomethacin) dan antibiotik (cefazolin / clindamycin) dengan memasukkan jahitan serviks berbanding jahitan serviks sahaja untuk mencegah kelahiran pramatang dalam wanita kehamilan tunggal.

Kami tidak mengenal pasti apa-apa kajian yang melihat pada rawatan lain berkombinasi dengan jahitan serviks. Penyelidikan tambahan perlu memberi tumpuan kepada peranan intervensi lain seperti alat sokongan faraj, penempatan jahitan serviks penguat atau kedua, 17-alpha-hydroxyprogesterone caproate, dydrogesterone atau progesteron mikron faraj, suplemen asid lemak omega-3 dan rehat di katil.

Kajian masa depan harus melibatkan bilangan wanita yang mencukupi untuk memberi keputusan yang bermakna dan menyelidiki risiko kematian bayi sejurus selepas kelahiran dan jumlah bayi yang keluar dari hospital dengan sihat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan in sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information