Adakah perkongsian tempat tidur adalah kaedah yang berkesan dan selamat dalam menjaga bayi sihat yang baru lahir?

Soalan tinjauan: kami ingin mengetahui sama ada perkongsian tempat tidur dikaitkan dengan peningkatan tempoh dan kekerapan penyusuan pada bayi yang dilahirkan setelah 37 minggu kehamilan (juga dikenali sebagai bayi baru lahir) dan sihat ketika dilahirkan.

Latar belakang: 'berkongsi tempat tidur' adalah sejenis amalan tidur di mana permukaan tidur (misalnya tempat tidur, sofa atau kerusi berlengan, atau beberapa permukaan tidur yang lain) dikongsi antara bayi dan orang lain. Sebab-sebab yang mungkin membuat keluarga memilih untuk berkongsi tempat tidur termasuk: kemudahan dalam penyusuan susu ibu; pengawalan suhu (mengelakkan hipotermia); meluangkan masa yang berkualiti dengan bayi; membantu bayi tidur dan dapat menenangkan bayi dengan mudah sekiranya mereka menjadi gelisah; dapat menolong mereka dengan cepat sekiranya berlaku kecelakaan; memberi rawatan rapi semasa sakit; dan membantu ikatan ibu dan anak. Walau bagaimanapun, bagi kebanyakkan keluarga di seluruh dunia, amalan berkongsi tempat tidur bukanlah satu amalan pilihan. Di negara-negara berpendapatan tinggi, perkongsian tempat tidur dianggap sebagai praktik kontroversial, dan telah menarik perhatian khususnya berkaitan dengan peranannya yang dikaitankan dengan sindrom kematian bayi secara tiba-tiba (SIDS). Tetapi di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, perkongsian tempat tidur telah menjadi amalan biasa bagi kebanyakan mereka yang tidak mampu mendapatkan tempat tidur yang berasingan. Dalam masyarakat yang kurang berkemampuan ini, perkongsian tempat tidur dipercayai menyumbang kepada: jangka masa penyusuan yang lebih lama; peningkatan masa dan tempoh aktif bayi; penurunan masa dan tempoh yang dihabiskan dalam tidur nyenyak; dan peningkatan kesedaran ibu terhadap keadaan bayi.

Ciri-ciri kajian: kami mencari kajian hingga 23 Julai 2020. Kajian ini bertujuan untuk merangkumi kajian terkawal secara rawak (RCTS). RCT adalah kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan. Kami merancang untuk memasukkan RCT bayi baru yang mula tidur bersama ibu dalam tempoh 24 jam sejak lahir (dan terus berkongsi tidur dengan ibu dalam empat minggu pertama kehidupan, diikuti dengan jangka masa yang berbeza selepas itu). Kami berhasrat untuk membandingkan kumpulan 'berkongsi tempat tidur' dengan kumpulan 'tidak berkongsi tempat tidur'. Semasa berkongsi katil, terdapat hubungan rapat antara ibu dan bayi. Manfaat fisiologi yang mungkin termasuk pengawalan suhu yang lebih baik dengan risiko hipotermia yang lebih rendah, dan kejayaan tempoh penyusuan yang lebih lama. Keburukkannya termasuk kematian bayi secara tiba-tiba akibat ibu terbaring di atas bayi, dan penggunaan bantal dan selimut.

Hasil utama: kami menilai enam kajian untuk dimasukkan dalam tinjauan ini. Kami mengecualikan kajian tersebut kerana alasan berikut: analisis data sekunder RCT primer (dua kajian); kajian tidak mengkaji perkongsian tempat tidur (dua kajian); bukan RCT (satu kajian); dan hasil berkaitan tinjauan yang dikehendaki tidak dikaji (satu kajian).

Kepastian bukti: kami tidak dapat menilai kepastian bukti mengenai perkongsian tempat tidur pada bayi baru lahir yang sihat. Ini adalah kerana tiada kajian yang layak dimasukkan ke dalam ulasan. Terdapat keperluan untuk RCT untuk berkongsi tempat tidur bersama bayi baru lahir yang sihat yang secara langsung menilai keberkesanan (iaitu kajian dalam keadaan terkawal, seperti hospital) atau faktor keberkesanan (iaitu kajian yang dilakukan di persekitaran masyarakat atau rumah) dan keselamatan. Kajian tersebut juga harus merangkumi bayi dari negara berpendapatan tinggi, negara berpendapatan rendah dan sederhana, terutama negara di mana perkongsian tempat tidur lebih kerap berlaku kerana amalan budaya (misalnya negara Asia).

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information