Kanabis dan minyak kanabis untuk rawatan penyakit Crohn

Apakah penyakit Crohn?

Penyakit Crohn adalah keradangan jangka panjang sepanjang saluran gastro-usus (GI), yang berlaku di mana saja dari mulut hinggalah ke dubur. Gejala-gejala umum termasuk sakit perut, cirit-birit dan kehilangan berat badan. Penyakit Crohn adalah penyakit yang mempunyai tempoh ulangan apabila pesakit mengalami gejala secara aktif dan tempoh kesembuhan sementara apabila gejala gejala berhenti.

Apakah kanabis dan kanabinoid?

Kanabis adalah sejenis dadah yang digunakan secara meluas yang mempunyai reaksi kepada sistem endokanabinoid yang ada pada tubuh. Kanabis mengandungi beberapa bahan sampingan yang dikenali sebagai kanabinoid. Penggunaan kanabis dan minyak kanabis yang mengandungi kanabinoid yang spesifik menyebabkan seseorang mengalami kesan mental dan fizikal. Sebagai contoh, perubahan deria dan perasaan gembira dan ghairah (euforia) apabila dkanabis digunakan. Bagaimanapun, sesetengah kanabinoid, seperti kanabidiol, tidak mempunyai kesan psikoaktif. Kanabis dan kanabidiol mempunyai sedikit kesan anti keradangan yang mampu membantu pesakit penyakit Crohn.

Apakah yang dikaji penyelidik?

Para penyelidik telah mengkaji sama ada kanabis adalah lebih baik berbanding dengan terapi plasebo (contohnya pil gula) untuk merawat pesakit dewasa dengan penyakit Crohn yang aktif atau pesakit Crohn yang dalam tempoh kesembuhan sementara.

Apakah yang dijumpai oleh para penyelidik?

Para penyelidik telah membuat pencarian secara menyeluruh dalam penulisan kajian sehingga 17 Oktober 2018 dan telah menjumpai tiga kajian (dengan 93 peserta) yang selari dengan kriteria yagn ditetapkan. Satu kajian yang masih dalam proses juga telah ditemukan. Kesemua kajian adalah berskala kecil dan mempunyai beberapa isu berkenaan kualiti. Satu kajian berskala kecil (21 peserta) telah membandingkan lapan minggu tempoh rawatan dengan menggunak rokok kanabis yang mengandungi 115 mg D9-tetrahydrocannabinol (THC) dengan rokok plasebo yang mengandungi kanabis tetapi telah dibuang THC dalam peserta yang mempunyai penyakit Crohn fasa aktif yang telah gagal sekurang-kurangnya satu rawatan perubatan am. Walaupun tiada perbezaan dalam kadar penyembuhan sementara secara klinikal yang telah diperhatikan, lebih ramai peserta dalam kumpulan yang menggunakan kanabis telah mengalami penambahbaikan simptom penyakit Crohn mereka berbanding peserta dalam kumpulan plasebo. Lebih banyak kesan-kesan sampingan yang telah diperhatikan dalam kumpulan yang menggunakan rokok kanabis apabila dibandingkan dengan kumpulan plasebo. Kesan-kesan sampingan ini termasuklah rasa mengantuk, mual, kesukaran untuk menumpukan perhatian, hilang ingatan, keliru dan pening yang mana dianggap sebagai sederhana sifatnya. Kumpulan peserta yang menggunakan rokok kanabis melaporkan bahawa penambahbaikan dalam aspek kesakitan, selera makan dan kepuasan dengan rawatan.

Satu kajian kecil (22 peserta) telah membandingkan minyak kanabis (10 mg kanabidiol 2 kali sehari) dengan minyak plasebo (contohnya; minyak zaitun) dalam pesakit dengan penyakit Crohn fasa aktif yang telah gagal dalam rawatan am sekurang-kurangnya sekali. Tiada perbezaan dalam kadar penyembuhan sementara secara klinikal yang telah diperhatikan. Tiada perbezaan dalam kesan-kesan sampingan yang serius. Kesan-kesan sampingan yang serius termasuklah penyakit Crohn yang semakin teruk dalam seorang peserta dalam kedua-dua kumpulan rawatan dan plasebo

Satu kajian kecil (50 peserta) membandingkan minyak kanabis (mengandungi 15% kanabidiol dan 4% THC) dengan minyak plasebo dalam peserta yang mempunyai penyakit Crohn yang aktif. Perbezaan positif dalam aspek kualiti kehidupan dan indeks aktiviti pesakit penyakit Crohn telah diperhatikan

Kesimpulan

Kesan-kesan kanabis dan minyak kanabis terhadap penyakit Crohn adalah tidak diketahui secara tepat. Tiada kesimpulan yang utuh berkenaan dengan manfaat atau kelebihan (sebagai contoh kesan-kesan sampingan) kanabis dan minyak kanabis dalam pesakit penyakit Crohn dewasa yang dapat dibuat. Kesan-kesan kanabis dan minyak kanabis dalam pesakit penyakit Crohn dalam fasa kesembuhan sementara belum lagi dikaji. Kajian lanjutan dengan jumlah peserta yang lebih besar adalah diperlukan untuk mengkaji potensi manfaat atau/dan kelebihan kanabis dalam pesakit penyakit Crohn. Kajian pada masa akan datang patut mengkaji kesan-kesan kanabi dalam pesakit dengan penyakit Crohn dalam fasa aktif dan tidak aktif. Dos berbeza kanabis dan formulasi (contohnya minyak kanabis atau pil) sepatutnya dikaji.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Solihin Zahari (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi solihin@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save