Probiotik untuk pengurusan gangguan sakit abdomen berfungsi terhadap kanak-kanak

Probiotik untuk merawat sakit perut terhadap kanak-kanak

Mesej utama

Probiotik mungkin lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu) dalam mengurangkan sakit perut terhadap kanak-kanak yang mengalami sakit abdomen berfungsi.

Sinbiotik mungkin lebih baik daripada plasebo (rawatan palsu) dalam mengurangkan sakit perut terhadap kanak-kanak yang mengalami sakit abdomen berfungsi.

Apa itu sakit abdomen berfungsi?

Sakit abdomen berfungsi merupakan masalah umum kepada kanak-kanak. Istilah sakit abodmen berfungsi digunakan apabila tiada punca dapat dikenalpasti untuk simptom yang terlibat. Simptom-simptom ini termasuklah sakit perut yang berlanjutan selama sekurang-kurangnya enam bulan yang menyebabkan pelbagai masalah dalam kehidupan seharian.

Apa itu probiotik?

Probiotik ialah bakteria hidup dan yis yang dikatakan mempunyai pelbagai manfaat kesihatan. Ia sering dirujuk sebagai 'bakteria baik'. Probiotik dpercayai boleh membantu keseimbangan semula jadi bakteria dalam usus dan boleh mengurangkan simptom penyakit tertentu. Probiotik juga boleh ditambah kepada agen yang dipanggil prebiotik (makanan yang menyokong pertumbuhan bakteria dan yis) dan apabila kedua-duanya disatukan dalam satu sediaan, ia dikenali sebagai simbiotik.

Apa yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada probiotik dan simbiotik boleh digunakan untuk rawatan sakit abdomen berfungsi terhadap kanak-kanak dan sama ada keduanya selamat digunakan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami membuat carian terhadap kajian yang membandingkan probiotik atau simbiotik dengan plasebo, tanpa rawatan atau intervensi lain dalam kanak-kanak berumur antara 4 tahun dan 18 tahun yang mempunyai diagnosis gangguan sakit abdomen berfungsi. Kami membuat perbandingan dan rumusan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti yang ada berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah kami temui?

Kami menemui 18 kajian dengan sejumlah 1309 kanak-kanak yang membandingkan probiotik atau simbiotik dengan plasebo.

Kami mendapati bahawa probiotik boleh memberikan kelegaan terhadap kesakitan dan masalah berkaitan perut yang lain berbanding plasebo dalam kanak-kanak yang mengalami sakit abdomen berfungsi. Secara khususnya, rawatan dinilai lebih berjaya dalam kanak-kanak yang mengambil probiotik berbanding mereka yang mengambil plasebo. Simbiotik juga menunjukkan perbezaan daripada plasebo tetapi kenyataan ini dibuat berdasarkan bilangan kajian yang kecil. Tiada maklumat yang mencukupi untuk mempertimbang perubahan dalam kekerapan kesakitan apabila perbandingan dibuat antara simbiotik dengan plasebo.

Kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan tentang keselamatan kerana bukti yang ditemui berkaitan sebarang kesan yang tidak diingini atau berbahaya mempunyai tahap kepastian yang sangat rendah.

Apakah batasan bukti?

Bukti untuk simbiotik dalam ulasan ini terhad berikutan keputusan diperoleh daripada bilangan kajian yang kecil. Dari aspek keselamatan, bilangan kes berkaitan dengan kesan yang tidak diingini atau berbahaya tidak mencukupi untuk memberi gambaran yang jelas tentang keselamatan probiotik dan simbiotik.

Sejauh mana terkininya bukti ini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information