Aktiviti protease dan kaitannya dengan penyembuhan ulser kaki vena pada masa akan datang

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mencari adakah hubungan antara tahap protease yang berlainan pada ulser kaki vena (luka kulit terbuka pada bahagian bawah kaki yang disebabkan oleh masalah dengan cara aliran darah melalui vena) sekarang dan penyembuhan luka pada masa akan datang. Protease adalah enzim, bahan kimia yang dihasilkan secara semula jadi oleh tubuh badan yang memecah protein dan yang boleh mempengaruhi penyembuhan luka. Kami ingin mengetahui sama ada tahap protease yang lebih tinggi bermakna luka lebih sukar untuk sembuh atau sembuh dengan lebih perlahan. Sekiranya demikian, ini dapat membantu untuk mencari rawatan yang paling berguna bagi setiap orang dengan ulser kaki. Penulis ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisasi semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai 19 kajian.

Mesej utama

Pada masa ini, terdapat ketidakpastian sepenuhnya mengenai hubungan antara aktiviti protease dan penyembuhan ulser kaki vena, tetapi ulasan ini memberikan petunjuk tentang perkara yang mungkin penting untuk penyelidikan masa depan mengenai bahan kimia semula jadi yang terdapat pada luka dan kesannya terhadap penyembuhan.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulser kaki vena boleh berlangsung untuk minggu, bulan atau tahun. Ulser kaki boleh menyakitkan, dijangkiti, dan mungkin mempengaruhi mobiliti serta kualiti hidup. Rawatan biasa untuk ulser kaki vena adalah terapi mampatan (seperti pembalut mampatan (elastik)), tetapi ia tidak berfungsi untuk semua orang (kira-kira satu pertiga orang masih mengalami luka yang tidak sembuh selepas enam bulan). Kami ingin mengetahui mengapa luka ini sering tidak sembuh, dan apakah faktor luka (disebut biomarker) yang dapat menunjukkan luka mana yang tidak mungkin sembuh. Ia dinyatakan bahawa luka lambat sembuh jika terdapat tahap protease yang tinggi. Dalam ulasan ini, kami menyiasat sama ada terdapat bukti bahawa tahap protease yang tinggi pada permulaan kajian dikaitkan dengan penyembuhan lambat pada ulser kaki atau kekurangan penyembuhan pada masa akan datang (seperti enam bulan).

Pada bulan Februari 2018, kami mencari kajian yang relevan dengan mempunyai reka bentuk yang boleh dipercayai dan yang menyelidiki hubungan antara tahap protease dengan penyembuhan ulser kaki vena pada masa depan. Kami menjumpai 19 kajian yang melibatkan 646 orang. Bukan semua kajian melaporkan usia dan jantina peserta. Bagi mereka yang melakukannya, purata usia peserta adalah antara 51 hingga 75 tahun. Sebelas kajian memberikan hasil yang dapat kami gunakan, melibatkan 13 kumpulan orang. Kebanyakkan orang mempunyai luka yang telah ada selama sekurang-kurangnya tiga bulan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Terdapat banyak perbezaan antara kajian yang disertakan: sebagai contoh, bagaimana mereka mentakrifkan penyembuhan, jenis protease dan bagaimana mereka mengukur protease, jenis rawatan serta cara mereka melaporkan hasil. Kekurangan konsistensi ini bermaksud kami tidak dapat menggabungkan dan membandingkan hasil-hasil tersebut, kami hanya meringkaskan penemuannya secara umum.

Masalah yang lebih besar adalah bahawa tidak ada kajian yang menganalisis data dengan tepat kerana mereka tidak mengambil kira kesan usia atau jangkitan atau rawatan, jadi kami tidak dapat memastikan bahawa tahap protease yang lebih penting untuk penyembuhan, daripada usia atau faktor lain. Sebilangan besar kajian adalah kecil dan sepatutnya dapat dilakukan dengan lebih baik, jadi ia amat sukar untuk memastikan kepentingan hasil kajian tersebut. Secara keseluruhannya, kepastian bukti adalah sangat rendah. Kajian lebih lanjut diperlukan untuk meneroka kepentingan biomarker untuk penyembuhan luka.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Februari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information