Pengangkatan uretral prostatik untuk rawatan gejala saluran kencing yang rendah di kalangan lelaki dengan hiperplasia yang tidak berbahaya.

Soalan ulasan

Adakah pengangkatan uretral prostatik (PUL) boleh mengurangkan gangguan gejala kencing tanpa kesan sampingan yang tidak diingini pada lelaki yang mempunyai prostat yang besar?

Latar belakang

Pembesaran prostat biasa berlaku di kalangan lelaki sejajar dengan usia yang semakin meningkat dan ia boleh menyebabkan kesukaran semasa kencing. PUL adalah prosedur baharu bagi melegakan gejala-gejala kencing seperti perlu membuang air kecil secara kerap, mempunyai terikan atau tidak dapat mengosongkan pundi kencing sepenuhnya. Kesan sampingan rawatan yang tidak diingini mungkin berkaitan masalah dengan ereksi, ejakulasi atau ia perlu dirawat lagi. PUL berfungsi dengan meletakkan sedikit cangkuk yang memampatkan tisu prostat untuk membuka aliran kencing tanpa perlu memotong atau membuang mana-mana tisu. Kami melakukan kajian ini untuk membandingkan PUL dengan rawatan pembedahan lain di kalangan lelaki yang mengalami prostat yang besar dan menghadapi gejala-gejala kencing.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan dua kajian terkawal rawak (ujian klinikal di mana pesakit secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 297 lelaki dibandingkan PUL dengan pembedahan Sham (peserta dibuat untuk percaya bahawa mereka menerima rawatan, tetapi realitinya mereka tidak menerima sebarang rawatan) atau reseksi transuretral prostat (TURP: mengeluarkan ketumbuhan prostat yang berlebihan menggunakan kamera dan satu gelung yang diaktifkan secara elektrik dan dimasukkan melalui zakar). Umur purata peserta adalah 65.6 tahun.

Keputusan-keputusan utama

Berbanding pembedahan Sham sehingga tiga bulan, PUL boleh mengurangkan gejala-gejala kencing dan mungkin meningkatkan kualiti hidup tanpa kesan sampingan tambahan yang tidak diingini selepas pembedahan. Dalam jangka pendek, tidak ada pembedahan tambahan disebabkan PUL tidak berfungsi. PUL mungkin tidak membuat ereksi atau ejakulasi menjadi lebih teruk.

Berbanding dengan TURP sehingga 24 bulan, PUL mungkin kurang berkesan dalam melegakan gejala-gejala kencing, tetapi ia menyebabkan keputusan kualiti hidup yang sama. PUL boleh mengekalkan ejakulasi, tetapi mungkin mempunyai kurang kesan yang tidak diingini pada ereksi berbanding TURP. Walau bagaimanapun, kami sama ada tidak pasti atau tidak mempunyai bukti tentang kesan sampingan yang serius yang tidak diingini atau keperluan untuk rawatan tambahan selepas pembedahan.

Dapatan kajian ini adalah terkini sehingga 31 Januari, 2019.

Kepastian tentang bukti

Kualiti bukti bagi kebanyakkan hasil adalah sangat rendah. Ini bermakna kesan sebenar mungkin berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information
Share/Save