Penekanan tersentak sakit kepala sebagai ujian meningitis akut di persekitaran kecemasan

Mengapa diagnosis meningitis akut dengan pemeriksaan fizikal penting?

Meningitis adalah keradangan tisu yang melindungi otak dan saraf tunjang (meninges). Meningitis akut, terutama meningitis bakteria dan tuberkular, berpotensi mengancam nyawa, dan memerlukan diagnosis serta merta dan rawatan awal.

Diagnosis biasanya memerlukan analisis cecair serebrospinal yang diambil melalui punktur lumbar. Punktur lumbar melibatkan kemasukan jarum antara tulang spina lumbar. Punktur lumbar adalah ujian invasif yang boleh menyebabkan sakit kepala.

Jika pemeriksaan fizikal boleh mengecualikan kemungkinan meningitis akut dengan tepat, pesakit mungkin dapat mengelak daripada menjalani punktur lumbar. Walau bagaimanapun, pemeriksaan fizikal tradisional orang yang disyaki meningitis, seperti ketidakupayaan untuk melentur leher ke hadapan (kekakuan nuka), tidak dapat mengetepikan meningitis akut.

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami ingin menganggar ketepatan penekanan tersentak untuk diagnosis meningitis akut di persekitaran kecemasan. Penekanan tersentak sakit kepala adalah pemeriksaan fizikal yang lebih baharu (1991) dan kurang dikenali berbanding ujian lain. Penekanan tersentak melibatkan membuat sakit kepala bertambah teruk dengan memutar kepala secara mendatar dua atau tiga kali sesaat.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Kami mengkaji penekanan tersentak sakit kepala dalam kalangan orang dengan potensi meningitis akut di persekitaran kecemasan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami memasukkan sembilan kajian melibatkan 1161 peserta yang berpotensi meningitis akut. Lima kajian hanya melibatkan orang dewasa, dan empat kajian melibatkan kedua-dua orang dewasa dan kanak-kanak. AKibat kekurangan data, kami tidak dapat melakukan analisis berasingan untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Berapa yakinkah kami dalam keputusan ulasan ini?

Penekanan tersentak sakit kepala tidak cukup sensitif untuk mengetepikan diagnosis meningitis akut.

Kepada siapa keputusan ulasan diaplikasi?

Orang yang berpotensi meningitis akut. Kebanyakan kajian mensasarkan persekitaran kecemasan, oleh itu tidak dapat dipastikan sama ada ujian itu akan berfungsi di persekitaran penjagaan primer. Kebanyakan kajian menyertakan orang dewasa atau remaja; peserta termuda berumur 13 tahun. Tiada bukti ujian ini boleh diaplikasi untuk kanak-kanak.

Apakah implikasi ulasan ini?

Walaupun ketika penekanan tersentak sakit kepala adalah negatif, masih ada kemungkinan meningitis akut.

Adakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 27 April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save