Analgesia epidural untuk sakit pascabedah selepas pembedahan tulang belakang dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Kami cuba menentukan jika analgesia epidural menawarkan kebaikan berbanding analgesia sistemik (vena, kulit atau otot) untuk merawat sakit pascabedah dalam kalangan kanak-kanak yang menjalani pembedahan tulang belakang.

Latar belakang

Setengah kanak-kanak memerlukan pembedahan tulang belakang yang ekstensif. Ia adalah prosedur yang sangat menyakitkan. Secara tradisi, kesakitan ini kebiasaannya dirawat dengan opioid seperti mprfin sistemik (atau ubat-ubatan seperti morfin yang lain) yang diberi secara suntikan ke dalam vena, kulit atau otot. Analgesia epidural melibatkan pemberian ubat penahan sakit melalui kateter yang dimasukkan ke tulang belakang untuk menyekat transmisi sakit ke otak. Kateter adalah tiub kecil yang diletak oleh doktor bedah, diakhir pembedahan, ke dalam ruang di dalam salur spina yang dikenali sebagai ruang epidural.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 14 November 2018. Kami memasukkan 11 kajian dengan 559 peserta di dalam ulasan ini, dan tujuh kajian dengan 249 peserta di dalam analisis. Kajian-kajian ini dibiaya oleh sumber jabatan (lima kajian), atau sebahagiannya oleh industri dan sumber kebajikan (1 kajian). Lima kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan. Tiga daripada kajian-kajian yang dimasukkan di dalam analisis mempunyai sebilangan peserta berumur lebih dari 18 tahun.

Keputusan utama

Mungkin terdapat penurunan tambahan kecil bagi sakit sehingga 72 jam selepas pembedahan dengan analgesia epidural berbanding analgesia sistemik. Selepas pembedahan tulang belakang yang esktensif, usus akan lumpuh untuk beberapa ketika, menyebabkan loya (merasa tidak sihat), muntah (menjadi tidak sihat), tidak upaya untuk minum atau makan, dan tiada ekskresi najis. Dua kajian kecil menunjukkan dengan analgesia epidural berdama anestetik setempat sahaja boleh mempercepatkan kembalinya fungsi usus. Jika pasti, ini maka bermakna kanak-kanak boleh mengambil makanan dan minuman seperti biasa dengan lebih cepat lagi selepas pembedahan tulang belakang yang esktensif. Kanak-kanak di dalam dua kajian kecil ini lebih berpuas hati dengan analgesia epidural berbanding kanak-kanak di dalam kumpulan analgesik sistemik. Walau bagaimanapun, adalah tidak jelas samada ibu bapa mereka lebih berpuas hati dengan analgesia epidural atau analgesia sistemik. Tiada kepastian dari segi keselamatan teknik ini bagi kanak-kanak yang menjalani pembedahan tulang belakang kerana tiada maklumat yang mencukupi untuk menentukan samada terdapatnya perbezaan dari segi kadar komplikasi di antara analgesik epidural dan analgesik sistemik, dan analisa bagi kajian-kajian kecil mungkin bukan metodologi terbaik untuk menilai dari segi aspek ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah sederhana, rendah atau sangat rendah untuk pengurangan sakit dan rendah atau sangat rendah bagi semua ukuran lain.

Ketidaksempurnaan di dalam kajian-kajian dan bilangan kajian-kajian sedia ada yang rendah merupakan masalah utama yang membawa kepada nilai kualiti bukti yang rendah atau sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Malaysian Ministry of Health). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubung zuromli@yahoo.com

Tools
Information
Share/Save