Doppler trans-thoracic echocardiography untuk pengesanan hipertensi pulmonari dalam kalangan orang dewasa

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Hipertensi pulmonari adalah tekanan darah tinggi dalam saluran darah yang membekalkan darah dari bahagian kanan jantung ke paru-paru. Ia adalah keadaan serius yang boleh merosakkan bahagian kanan jantung. Dinding dalam saluran darah menjadi tebal dan kaku yang menyebabkan darah lebih sukar untuk mengalir. Ini boleh menyebabkan kegagalan jantung. Gejala boleh merangkumi kesesakan nafas, keletihan, sakit dada, degupan jantung yang kencang atau bengkak pada anggota bawah dan perut.

Gejala-gejala tersebut mungkin serupa dengan penyakit jantung dan paru-paru lain, jadi diagnosis akan mengambil masa. Diagnosis awal adalah bermanfaat kerana rawatan boleh dimulakan lebih cepat. Memulakan rawatan awal adalah lebih baik kerana ramai mangsa menunjukkan tindak balas dengan lebih baik terhadap rawatan pada peringkat awal penyakit. Tidak mendapat diagnosis lebih awal boleh membawa akibat yang teruk seperti hilang upaya dalam kehidupan seharian atau kematian.

Cara paling tepat untuk mendiagnosis hipertensi pulmonari adalah dengan menggunakan ukuran tekanan yang dipanggil kateterisasi jantung kanan. Walau bagaimanapun, ini adalah invasif dan boleh menyebabkan komplikasi. Satu lagi teknik, yang dipanggil Doppler echocardiography adalah tidak invasif, lebih murah dan lebih banyak didapati di hospital. Oleh itu, banyak garis panduan mengesyorkan penggunaan ekokardiografi sebagai kaedah diagnosis awal. Kami ingin melakukan ulasan ini kerana beberapa kajian telah mempersoalkan ketepatan ekokardiografi. Kami ingin mengetahui sejauh mana ekokardiografi lebih baik berbanding kateterisasi jantung kanan untuk diagnosis hipertensi pulmonari.

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk menilai bukti tentang keupayaan echocardiography untuk mengenalpasti hipertensi pulmonari pada orang dewasa berbanding dengan kateterisasi jantung kanan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menjumpai 17 kajian yang melibatkan 3656 orang yang disyaki menghidapi hipertensi pulmonari.

Terdapat banyak variasi dalam kajian-kajian itu. Kami mendapati ciri-ciri peserta berbeza-beza dari segi umur, jantina, punca hipertensi pulmonari, persekitaran dan negara. Nilai cut-off untuk bacaan ekokardiografi yang dipilih untuk mendiagnosis hipertensi pulmonari juga berbeza-beza. Kami menggunakan data yang sedia ada untuk menganggarkan prestasi ekokardiografi berbanding dengan kateterisasi jantung kanan. Di hospital penjagaan tertiari, di mana kebanyakan kajian yang disertakan dijalankan, diandaikan bahawa 680 daripada 1000 pesakit mempunyai hipertensi pulmonari. Kami mendapati bahawa 592 orang daripada 1000 akan didiagnosis dengan betul dengan hipertensi pulmonari menggunakan ekokardiografi. Tetapi demikian, 45 daripada 1000 pesakit akan disalah anggap sebagai menghidap hipertensi pulmonari (positif palsu), manakala 88 daripada 1000 pesakit mungkin disalah anggap sebagai tidak mempunyai hipertensi pulmonari (negatif palsu) dan 275 daripada 1000 pesakit akan mengelakkan rujukan yang tidak perlu untuk kateterisasi jantung kanan. Dalam senario di mana pemeriksaan pra pembedahan untuk pemindahan hati dijalankan, 100 daripada 1000 diandaikan mempunyai hipertensi pulmonari. Kami mendapati bilangan negatif palsu dan positif palsu ialah 13 dan 126, masing-masing.

Adakah keputusan kajian-kajian tersebut boleh percaya?

Kami menilai bahwa kajian yang disertakan mempunyai batasan yang penting dari segi kesahihan, yang bermaksud bahawa kajian-kajian tersebut berisiko tinggi untuk memberikan hasil yang terganggu. Oleh itu, kita tidak dapat pastikan sama ada bilangan negatif palsu adalah betul (iaitu ia mungkin lebih tinggi).

Kepada siapakah keputusan ulasan ini boleh diaplikasi?

Keputusan ini boleh diaplikasikan kepada orang dewasa yang disyaki mengalami hipertensi pulmonari. Walau bagaimanapun, ketepatan diagnostik echocardiography sangat berbeza dalam kalangan kajian dan masih belum jelas apa yang menyebabkan kepelbagaian ketepatan ujian ini. Yang penting, keputusan adalah daripada kajian yang dijalankan dalam tetapan prevalens yang agak tinggi. Oleh itu, perhatian harus diambil apabila mengaplikasikan keputusan ini pada situasi individu.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Ulasan ini adalah terkini hingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information