Ubat SSRI sebagai rawatan ejakulasi pramatang

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui adakah ubat-ubatan yang dikenali sebagai SSRI, yang secara umumnya digunakan untuk merawat kemurungan, dapat membantu lelaki yang mengalami ejakulasi lebih cepat daripada apa yang mereka inginkan, melambatkan proses ejakulasi tersebut.

Latar belakang

Ejakulasi pramatang adalah masalah biasa di kalangan lelaki, ianya berlaku apabila ejakulasi berlaku lebih cepat daripada yang diinginkan lelaki atau pasangannya semasa melakukan hubungan kelamin; ia boleh menyebabkan masalah kurang harmoni dan merosakkan hubungan diantara pasangan. SSRI adalah ubat-ubatan yang sering diberikan untuk membantu merawat ejakulasi awal, tetapi kami tidak memahami seberapa baik ia berfungsi dan apakah kesan yang tidak diingini boleh terjadi.

Ciri-ciri kajian

Kami mengkaji bukti sehingga 1 Mei 2020. Kami menjumpai 31 kajian yang melibatkan sebanyak 8254 lelaki. Kajian membandingkan SSRI dengan plasebo (pil yang tidak mengandungi bahan aktif).

Hasil utama

SSRI mungkin meningkatkan kepuasan seksual bagi lelaki yang mengalami ejakulasi pramatang berbanding plasebo. SSRI juga mungkin meningkatkan rasa kawalan terhadap ejakulasi dan mengurangkan rasa tidak harmoni dan masalah hubungan antara pasangan. Walau bagaimanapun, rawatan ini meningkatkan kesan sampingan.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sederhana untuk SSRI, dari segi membantu lelaki merasa terdapat perubahan dengan rawatan, kebahagiaan dengan hubungan seksual, dan perasaan dapat mengawal ejakulasi. Kualiti bukti yang sederhana untuk kesan sampingan ubat. Hasil ini bermaksud bahawa penilaian kami mungkin hampir sama dengan keadaan sebenar di luar kajian. Walau bagaimanapun, kepastian bukti bahawa SSRI dapat memperbaiki masalah hubungan pasangan dan meningkatkan masa untuk ejakulasi adalah rendah. Ini bermaksud bahawa kesan sebenar rawatan terhadap kedua-dua masalah tersebut mungkin berbeza dengan hasil tinjauan ini. Itu mungkin disebabkan oleh kelemahan dan variasi dalam kajian-kajian yang kami nilai.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save