Pembedahan berpandukan imej untuk ketumbuhan otak

Latar belakang
Pembedahan mempunyai peranan penting dalam pengurusan pelbagai jenis ketumbuhan otak. Pembuangan sebanyak mungkin bahagian ketumbuhan sangat penting, kerana dalam beberapa jenis ketumbuhan otak dapat meningkatkan kelangsungan hidup dan pesakit merasa lebih baik. Akan tetapi, dalam sebahagian kes, pembuangan ketumbuhan otak mungkin sukar kerana ketumbuhan itu mungkin mirip tisu otak yang normal atau berada berhampiran tisu otak yang diperlukan untuk berfungsi secara biasa. Kaedah baharu telah dihasilkan bagi mengenal pasti ketumbuhan sewaktu pembedahan, ianya untuk membantu pakar bedah mengidentifikasi dengan lebih baik antara tisu ketumbuhan dengan tisu otak yang normal.

Persoalan
1. Adakah pembedahan berpandukan imej lebih berkesan dalam pembuangan ketumbuhan otak jika dibandingkan dengan pendekatan pembedahan tanpa berpandukan imej?
2. Adakah tahap keberkesanan suatu jenis teknologi pengimejan atau radas berpandukan pengimejan berbeza antara satu sama lain?

Ciri-ciri kajian
Strategi saringan pengulas adalah terkini per Mei 2017. Kami mengenalpasti empat buah kajian yang melibatkan tiga jenis peralatan yang berbeza untuk meningkatkan kuantiti ketumbuhan otak yang dibuang. Ketumbuhan yang dinilai adalah glioma gred tinggi. Kaedah pengimejan yang digunakan semasa pembedahan berlangsung termasuk:

• pengimejan resonans magnetik semasa pembedahan untuk menilai kuantiti ketumbuhan yang tersisa;
• penggunaan bahan pewarna pendarfluor (asid 5-aminolevulinik) untuk menandakan ketumbuhan; atau
• pengimejan pra-pembedahan bagi mengenalpasti kedudukan sesebuah ketumbuhan, dan hal ini dapat dijadikan panduan semasa pembedahan (navigasi neuron).

Semua kajian menggunakan perkaedahan yang mencurigakan, jadi kesimpulan kajian-kajian tersebut mungkin berat sebelah. Kajian lain yang telah dibiayai oleh pengeluar teknologi panduan berdasarkan imej juga dinilai.

Hasil utama
Kami menemui bukti yang berkualiti rendah hingga sangat rendah dalam penggunaan pembedahan berpandukan pengimejan yang membolehkan lebih banyak ketumbuhan dibuang melalui pembedahan dalam kalangan sesetengah pesakit. Kesan neurologi dalam jangka pendek dan panjang masih belum lagi dikenalpasti. Kami tidak mempunyai data untuk menentukan sama ada pendekatan teknologi yang dapat mempengaruhi kelangsungan hidup keseluruhan, rentang waktu sehingga kemerosotan penyakit, atau kualiti hidup. Terdapat bukti yang berkualiti sangat rendah dari segi teknologi navigasi neuron, dan kami gagal mengenalpasti sebarang kajian yang melibatkan panduan berpaksikan ultrasound. Dari segi kos, satu kajian ekonomi bukan sistematik membuat saranan bahawa pembedahan standard yang berpandukan imej mempunyai kesan yang belum lagi dikenalpasti terhadap kos pembedahan manakala kos asid 5-aminolevulinik adalah lebih mahal berbanding dengan pembedahan biasa.

Kualiti bukti
Bukti berkenaan penggunaan teknologi pengimejan intraoperatif dalam pembuangan ketumbuhan otak amat sedikit dan keputusan kajian sedia ada berkualiti rendah ataupun sangat rendah. Kajian lanjutan perlu dilaksanakan bagi menilai tiga persoalan utama.

1. Adakah membuang lebih banyak ketumbuhan lebih baik untuk pesakit dalam jangka masa panjang?
2. Apakah risiko yang menyebabkan pesakit mengalami gejala yang lebih teruk dengan membuang lebih banyak ketumbuhan?
3. Bagaimanakah reseksi ketumbuhan otak tersebut meberi kesan terhadap kualiti hidup pesakit?

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information