Transfusi platelet sebelum pembedahan untuk orang yang mempunyai kiraan platelet rendah

Soalan ulasan

Kami berhasrat untuk menilai keselamatan dan keberkesanan klinikal untuk menguruskan transfusi platelet kepada orang yang mempunyai kiraan platelet rendah yang memerlukan pembedahan. Kami termasuk tiga perbandingan: pemberian transfusi platelet berbanding tanpa transfusi; pemberian transfusi platelet berbanding dengan rawatan alternatif (ubat-ubatan yang mengurangkan risiko pendarahan atau meningkatkan jumlah platelet) atau memberi transfusi platelet apabila kiraan platelet berada di bawah bilangan set nombor (kiraan platelet rendah misalnya 20 × 109 / L berbanding sedikit lebih tinggi misalnya 50 × 10 9/ L).

Populasi sasaran kami adalah orang yang mempunyai kiraan platelet yang rendah pada sebarang usia yang memerlukan pembedahan. Kami mengecualikan kajian terhadap orang yang mempunyai kiraan platelet rendah yang mengalami pendarahan secara aktif.

Mesej utama

Terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk membantu membimbing penggunaan transfusi platelet sebelum pembedahan pada orang dengan kiraan platelet rendah. Tiada bukti untuk bayi dan kanak-kanak atau sebelum operasi utama.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Platelet adalah sel kecil dalam darah yang membentuk bekuan untuk membantu menghentikan pendarahan. Sekiranya seseorang dengan kiraan platelet rendah memerlukan pembedahan, mereka mengalami peningkatan risiko pendarahan semasa dan selepas pembedahan. Sejumlah strategi digunakan untuk mengurangkan risiko pendarahan, termasuk: memberi transfusi platelet (menyuntikkan platelet ke dalam aliran darah) untuk meningkatkan kiraan platelet, memberi ubat untuk meningkatkan kiraan platelet dan memberi ubat yang mengurangkan risiko pendarahan. Strategi semasa tidak berdasarkan bukti yang baik, tetapi berdasarkan pengalaman dan kepakaran klinikal individu.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati 5 kajian terkawal rawak (kajian klinikal di mana orang diletakkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang layak untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Dua daripada kajian-kajian ini masih dalam proses. Tiga kajian lain yang lengkap adalah kecil, dengan gabungan jumlah sebanyak 180 orang. Semua adalah orang dewasa yang memerlukan pembedahan kecil atau prosedur invasif (prosedur yang dilakukan melalui kulit atau rongga badan atau pembukaan anatomi). Dua kajian adalah pada orang dewasa dengan penyakit hati dan satu kajian adalah pada orang dewasa yang berada di unit rawatan intensif. Satu kajian membanding transfusi platelet kepada tanpa transfusi. Satu kajian membanding transfusi platelet kepada ubat-ubatan yang meningkatkan kiraan platelet. Satu kajian membanding transfusi platelet kepada ubat yang mengurangkan risiko pendarahan. Kami tidak menemui apa-apa kajian yang membandingkan penggunaan transfusi platelet yang menggunakan tahap kiraan platelet yang berbeza sebagai panduan untuk transfusi platelet.

Bukti yang sedia ada tidak mencukupi untuk menentukan sama transfusi platelet menjejaskan risiko kematian disebabkan oleh sebarang sebab, pendarahan berkaitan prosedur kecil atau utama, atau risiko kesan sampingan yang serius. Satu-satunya bukti yang ada berkualiti sangat rendah kerana: pengiraan adalah sangat tidak tepat, kajiannya berisiko berat sebelah (peserta dan doktor mengetahui rawatan yang mereka terima) dan bukti hanya digunakan untuk orang dewasa dengan penyakit hati yang memerlukan prosedur pergigian atau biopsi hati (sampel hati diambil untuk analisis), atau orang dewasa dalam unit rawatan intensif yang memerlukan penyisipan tiub untuk membantu pernafasan (tracheotomy).

Tiada kajian yang melaporkan: kematian disebabkan oleh sebarang sebab pada 90 hari selepas pembedahan; kematian akibat pendarahan, jangkitan atau bekuan darah; bilangan sel merah (sel yang membawa oksigen dalam darah) atau bilangan transfusi platelet yang diterima setiap peserta; panjang penginapan hospital atau kualiti hidup.

Tiada kajian termasuk kanak-kanak atau orang yang memerlukan pembedahan utama atau prosedur pembedahan kecemasan.

Adakah bukti ini terkini?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga December 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane#rcsucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save