Gabungan ubat manakah yang terbaik untuk mencegah loya dan muntah yang disebabkan oleh kemoterapi pada orang dewasa yang menghidap kanser?

Beban loya dan muntah yang disebabkan oleh kemoterapi dan apakah yang membantu untuk mencegahnya?

Dikalangan 70% hingga 80% orang dewasa yang menghidap kanser, kemoterapi menyebabkan loya dan muntah (CINV). Berdasarkan kepada jenis kemoterapi, rawatan boleh menyebabkan sakit secara kuat atau sederhana (dirujuk sebagai HEC (kemoterapi sangat emetogenik) dan MEC (kemoterapi emetogenik sederhana)). Gabungan pelbagai ubat telah menunjukkan manfaat yang tinggi untuk CINV di kalangan orang dewasa yang menerima HEC atau MEC.

Apakah matlamat ulasan ini?

Melalui penggunaan meta-analisis rangkaian, kami bertujuan untuk membandingkan faedah dan kemudaratan gabungan ubat yang berbeza untuk mencegah CINV di kalangan orang yang menerima HEC atau MEC, dan untuk mengenal pasti ranking rawatan. Meta-analisis rangkaian ialah teknik yang digunakan untuk membandingkan rawatan yang berbeza yang dijelaskan dalam percubaan yang telah diterbitkan, walaupun percubaan individu asal tidak menjelaskan perbandingan tersebut.

Apakah kajian yang kami melihat?

Kami mencari pangkalan data perubatan dan pendaftaran percubaan terpilih sehingga Februari 2021. Kami menyertakan kajian yang membandingkan pelbagai kombinasi ubat untuk pencegahan CINV di kalangan orang dewasa dengan sebarang jenis kanser yang menerima HEC atau MEC yang biasa digunakan dalam amalan klinikal. Khususnya, kami melihat ubat-ubatan yang menghalang dua reseptor biokimia tertentu (reseptor neurokinin dan reseptor serotonin) yang mencetuskan loya dan muntah selepas kemoterapi. Kami melihat kesan pencegahan rawatan ini selama lima hari. Ini ialah tempoh di mana keamatan maksimum CINV dan puncak keamatan selanjutnya dijangka, selepas permulaan kemoterapi.

Keputusan utama...

... untuk orang yang menerima HEC

Kami mendapati 73 kajian yang melaporkan pengalaman 25,275 peserta dan membandingkan 14 kombinasi rawatan minat kami.

Faedah. Sepanjang lima hari, rawatan yang disiasat membantu mencegah sebarang muntah antara 60% hingga 81% orang secara purata. Mereka juga tidak memerlukan ubat penyelamat, yang digunakan sekiranya loya dan muntah berlaku walaupun rawatan profilaksis telah diberikan. Hasil analisis kami mencadangkan beberapa perbezaan dalam keberkesanan rawatan yang berbeza, tetapi secara keseluruhan kami kurang yakin bahawa perbezaan tersebut akan dicerminkan dalam pemerhatian dunia sebenar.

Kemudaratan. Kami menganggarkan bahawa 1% hingga 4% orang mengalami kesan sampingan yang serius. Perbezaan antara rawatan adalah kecil.

... untuk orang yang menerima HEC

Kami mendapati 38 kajian yang melaporkan pengalaman 12,038 peserta dan membandingkan 15 kombinasi rawatan minat kami.

Faedah. Sepanjang lima hari, rawatan yang disiasat membantu mencegah sebarang muntah antara 43% hingga 72% orang secara purata. Individu tersebut juga tidak memerlukan ubat penyelamat. Hasil analisis kami mencadangkan beberapa perbezaan dalam keberkesanan rawatan yang berbeza, tetapi secara keseluruhan kami kurang yakin bahawa perbezaan tersebut akan dicerminkan dalam pemerhatian dunia sebenar.

Kemudaratan. Beberapa kajian melaporkan kesan sampingan yang serius. Laporan kesan sampingan serious mencadangkan bahawa secara purata 15% hingga 18% orang mengalami peristiwa sedemikian. Perbezaan antara rawatan adalah kecil. Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahawa penyelidikan masa depan diperlukan untuk menolak kemungkinan perbezaan antara rawatan.

Keyakinan kami terhadap keputusan

Kami menilai sejauh mana kami yakin bahawa terdapat perbezaan antara rawatan yang dibandingkan. Kami mempunyai keyakinan yang rendah atau sangat rendah bahawa satu rawatan adalah lebih baik atau lebih teruk daripada yang lain dalam mencegah CINV. Keyakinan kami terhadap perbezaan antara keputusan statistik adalah terhad terutamanya kerana ukuran variasi adalah luas dan termasuk kedua-dua kelebihan dan kelemahan yang berpotensi, walaupun ukuran ketepatan tidak menunjukkan kesan atau menunjukkan kesan yang sedikit. Kami juga mengenal pasti limitasi dalam beberapa kajian yang disertakan, yang seterusnya mengehadkan keyakinan kami terhadap kesan. Ini terutamanya berlaku apabila kakitangan kajian dan peserta mengetahui rawatan manakah yang diberikan dan oleh itu mungkin tidak mematuhi intervensi yang dirancang, atau mungkin mempersepsikan atau melaporkan kesan secara berbeza.

Kesimpulan

Keputusan analisis kami menunjukkan bahawa tiada kombinasi ubat yang unggul untuk pencegahan CINV untuk orang yang menerima HEC atau MEC. Walau bagaimanapun, keputusan menunjukkan bahawa pilihan ubat yang menyasarkan reseptor serotonin mungkin berkesan, tidak kira sama ada diberikan dengan atau tanpa ubat yang menyasarkan reseptor neurokinin. Walau bagaimanapun, apabila mentafsir keputusan ini, adalah penting bagi pembaca untuk memahami bahawa jenis analisis pelbagai perbandingan ini bukan pengganti untuk perbandingan kepala ke kepala, dan bahawa keputusan tidak semestinya menolak perbezaan yang mungkin berkaitan secara klinikal untuk sesetengah individu.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 2 Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan in sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information