Keluarga dan sekolah seiringan

Latar belakang

Kanak-kanak yang berprestasi baik di sekolah mempunyai penjaga yang berminat dalam pembelajaran mereka dan menggalakkan mereka untuk membaca dan menyelesaikan masalah pembelajaran dan juga membantu mereka sebaik mungkin. Penjaga yang tinggal di komuniti yang menyokong pembelajaran seperti ini mendapati lebih mudah untuk melaksanakan tanggungjawab keibu-bapaan seperti yang dikehendaki berbanding dengan mereka yang terasing daripada komuniti yang membantu. Program Penglibatan Keluarga dan Sekolah yang dikenali sebagai FAST- adalah satu program yang direka untuk menolong ibu bapa membantu anak mereka untuk belajar dan mendapat keputusan yang baik di sekolah. Ia bertujuan untuk menangani masalah yang menghalang ibu bapa daripada memberi sokongan yang anak mereka perlukan, dengan menambah baik hubungan antara keluarga dan sekolah, meningkatkan sokongan untuk keluarga, dan menangani masalah seperti kemiskinan, penyakit mental, dan penyalahgunaan bahan terlarang. Lima versi FAST yang berbeza telah direka untuk keluarga yang mempunyai anak pada umur yang berbeza.

Soalan ulasan

Adakah Program Penglibatan Keluarga dan Sekolah (FAST) meningkatkan keputusan pembelajaran untuk kanak-kanak dan membawa kebaikan kepada keluarga mereka?

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati terdapat 10 kajian rawak terkawal (kajian-kajian yang mana sekolah-sekolah ditentukan untuk menerima FAST atau untuk meneruskan sistem pembelajaran seperti biasa, dengan kaedah rawak), melibatkan lebih daripada 9000 kanak-kanak dan keluarga mereka.

Sembilan daripada kajian ini dilakukan di Amerika Syarikat dan dibiayai oleh agensi-agensi di bawah Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat. Satu kajian dilakukan di UK. Kanak-kanak berusia daripada lima hingga sembilan tahun, dan sebahagian besar kanak-kanak berasal dari Amerika Syarikat adalah daripada ahli kumpulan etnik atau kaum minoriti. Penglibatan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalam kajian ini lebih kurang dengan kadar yang sama. Dalam kebanyakan kajian, FAST dilakukan di sekolah kanak-kanak yang terlibat selepas tamat waktu persekolahan, walaupun begitu terdapat beberapa kajian yang dilakukan di luar sekolah (contohnya di pusat komuniti). Kajian-kajian berlangsung selama lapan minggu dan pada akhir tempoh ini kesan program FAST diukur dan dibandingkan dengan tiada intervensi tambahan. Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2018.

Keputusan-keputusan

Meta-analisis adalah kaedah statistik yang menggabungkan data daripada beberapa kajian untuk mencapai satu, kesimpulan yang lebih kukuh. Kami dapat menggunakan data dari sembilan kajian dalam meta-analisis ini bagi mengukur kesan FAST pada kanak-kanak yang berumur antara lima hingga lapan tahun. Walaupun terdapat kajian-kajian individu yang melaporkan penemuan positif, terdapat sedikit sahaja bukti yang mencadangkan bahawa penglibatan dalam program FAST dapat meningkatkan prestasi sekolah kanak-kanak, mengurangkan penyalahgunaan bahan terlarang oleh ibu bapa, atau mengurangkan kadar stres ibu bapa. Tiada kajian mengukur kesan sampingan pada kanak-kanak. Tambahan pula, hanya terdapat bukti yang sedikit yang mencadangkan bahawa FAST mendorong kepada perubahan penting pada sikap kanak-kanak atau hubungan kekeluargaan.

Kualiti kajian

Kami menilai kepastian bukti bagi keputusan utama kajian-kajian ini sebagai sederhana atau rendah. Kegagalan melibatkan kesemua keluarga di dalam hasil analisis (merendahkan atau menurunkan kekuatan hasil kajian) dan kemungkinan terdapat bias dalam pengambilan keluarga ke dalam kajian adalah limitasi (pembatasan) utama pada bukti kajian.

Kesimpulan pengarang

Bukti mengenai keberkesanan pelaksanaan FAST adalah berkepastian sederhana hingga rendah dan tidak dapat mencadangkan bahawa pelaksanaan FAST memberi manfaat penting kepada para pelajar dan keluarga mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com

Tools
Information