Penyejukan ditambah xenon yang disedut untuk bayi baru lahir dengan hypoxic-ischaemic encephalopathy

Soalan ulasan: Bagaimanakah penyejukan ditambah xenon yang disedut berbanding dengan penyejukan sahaja meningkatkan kemandirian dan perkembangan bayi baru lahir yang mungkin mengalami kekurangan oksigen semasa lahir?

Latar belakang: Hypoxic-ischaemic encephalopathy, atau HIE, adalah kecederaan otak yang disebabkan oleh kekurangan oksigen ke otak semasa kelahiran (asfiksia kelahiran). Hypoxic-ischaemic encephalopathy adalah punca utama kematian atau kecacatan teruk di kalangan bayi. Hipotermia terapeutik (penyejukan) ialah pilihan rawatan yang tersedia untuk mengurangkan kemungkinan kerosakan otak yang teruk apabila suhu badan bayi dikurangkan sejurus selepas kelahiran. Walaupun penyejukan telah terbukti sebagai terapi yang berkesan untuk HIE neonatal, separuh daripada bayi baru lahir yang dirawat masih mati atau menghadapi sekuela perkembangan saraf pada kemudian hari. Bukti menunjukkan bahawa xenon yang disedut, merupakan gas tidak berbau, digabungkan dengan penyejukan badan, boleh membantu meningkatkan kemandirian dan perkembangan pada 18 hingga 36 bulan.

Ciri-ciri kajian: Kajian ini menemui satu kajian rawak terkawal yang mengkaji kesan jangka pendek penyejukan ditambah xenon untuk bayi dengan HIE.

Keputusan utama: Kajian ini mendaftarkan 92 peserta. Penyejukan ditambah xenon tidak meningkatkan hasil klinikal sebelum keluar dari hospital berbanding dengan penyejukan sahaja. Data mengenai perkembangan jangka panjang adalah tidak disediakan.

Kualiti bukti: Bukti semasa yang berkualiti rendah adalah tidak mencukupi untuk menunjukkan sama ada penyejukan ditambah xenon meningkatkan kemandirian dan perkembangan bayi baru lahir dengan HIE. Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information